Aletra L8 dilancar – produk pertama jenama Indonesia, MPV EV asas daripada Geely Jiaji L/Livan Maple 80V L

Aletra L8 dilancar – produk pertama jenama Indonesia, MPV EV asas daripada Geely Jiaji L/Livan Maple 80V L

Aletra, satu jenama kenderaan Indonesia baru melancarkan model pertama mereka, Aletra L8 semasa Gaikindo Jakarta Auto Week. MPV EV ini dijual dalam dua versi, iaitu L8 pada harga 435 juta rupiah (RM122k) dan L8s berharga 478 juta rupiah (RM134k).

Aletra ini adalah satu jenama di bawah kelolaan PT Sinar Armada Globalindo (PT SAG), yang bekerjasama dengan Livan Automotive, iaitu syarikat gabungan Shanghai Maple milik Geely dan Lifan Technology.

Disebabkan itu, L8 ini sebenarnya adalah Livan Maple 80V L (Geely Jiaji versi EV) yang diberikan beberapa perubahan untuk pasaran Indonesia termasuk compressor pendingin hawa yang dipertingkat, rim 18 inci rekaan baru serta muka yang diubah sedikit. Ia dibuat di kilang PT Handal Indonesia Motor di Cikarang, yang juga mengeluarkan kenderaan lain seperti Chery, Neta dan Jetour.

Menyediakan tujuh tempat duduk dalam susunan 2-2-3, Aletra mencatat ukuran panjang 4,812 mm (-14 mm berbanding Jiaji L), lebar 1,909 mm, tinggi 1,699 mm tall dan jarak roda 2,807 mm. Ruang simpanannya bagaimanapun adalah kecil sedikit berbanding Jiaji L, iaitu 459 liter, berkemungkinan kerana kedudukan baterinya. Suspensi terdiri daripada tetapan MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang.

Varian asas L8 mendapat bateri LFP 50.4 kWh yang mampu memberi jarak gerak 431 km (CLTC), sementara L8s diberikan dengan bateri short blade 64.74 kWh dengan jarak gerak 540 km (CLTC). Motor 163 PS/240 Nm yang sama digunakan untuk kedua-dua varian ini, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 10.7 saat dan laju maksimum 160 km/j.

Antara kelengkapan yang disediakan adalah bumbung panoramik, pengelap cermin automatik, kamera 360 darjah, pemerhati titik buta, panel instrumen digital TFT-LCD tujuh inci, pengecas telefon tanpa wayar, lampu suasana, tempat duduk hadapan larasan kuasa elektrik serta skrin sesentuh 12.4 inci. Untuk aspek keselamatan, ia dilengkapi empat beg udara dan pengawal stabiliti – ADAS tidak disebut.

Aletra didatangkan dengan jaminan selama enam tahun/150,000 km untuk kenderaan, lapan tahun/200,000 km (L8), 500,000 km (L8s) untuk bateri dan lapan tahun/150,000 unit untuk penggeraknya. Turut diberi adalah penyelenggaraan percuma selama enam tahun/100,000 km.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required