Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan bahawa Hyundai Motor bakal membina kilang pertamanya di Malaysia pada tahun depan menerusi pelaburan bernilai RM2.16 bilion.
Beliau mengumumkan perkara ini kepada media Malaysia yang mengikuti program lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan hari ini dan mengadakan pertemuan tertutup bersama konglomerat Korea Selatan yang terdiri daripada syarikat Hyundai Motor dan OCI Holdings, lapor Bernama.
Menurutnya lagi ini merupakan pelaburan terbesar pembuat automotif Korea berkenaan di Malaysia serta bakal menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. “Ini adalah pelaburan yang besar dan sebanyak tujuh model kereta akan dikeluarkan dalam tempoh lima tahun. Kilang dibuka di Kulim (Kedah) tahun depan,” katanya.
Buat masa sekarang beberapa model Hyundai termasuk Santa Fe sememangnya diproduksi secara tempatan di Kulim, namun ia dibuat secara kontrak menerusi syarikat tempatan, Inokom Corporation Sdn Bhd.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.