Hyundai Santa Fe generasi ke-empat dalam versi facelift akhirnya dilancarkan di pasaran Malaysia hari ini. Model ini telah membuat kemunculan sulungnya di sini ketika berlangsungnya acara PACE 2023 pada November, serentak dengan pembukaannya tempahannya untuk pasaran tempatan.
Ia terus hadir dalam versi pemasangan tempatan (CKD), dan ditawarkan dalam tiga varian iaitu 1.6L Turbo Hybrid Plus, 1.6L Turbo Hybrid Max dan 2.2L Turbodiesel Max masing-masing dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM195,888, RM209,888 dan RM215,888. Namun untuk 100 pembeli terawal, Hyundai Malaysia turut memberikan diskaun sebanyak RM10,000 menjadikan harga tersebut bermula RM185,888, RM199,999 dan RM205,888. Ketiga-tiga varian ini menerima perlindungan waranti selama lima-tahun atau 300,000 km.
Untuk model hibrid, ia menggabungkan enjin petrol turbo 1.6 liter Gamma II dengan suntikan bahan api terus (T-GDI) yang menghasilkan kuasa 180 PS dan tork 265 Nm, bersama motor elektrik 44.2 kW. Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa ini memberikan kuasa 230 PS dan tork maksima 350 Nm yang disalurkan hanya pada roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan.
Sekiranya anda mahu Sante-Fe dengan kebolehan pacuan semua roda, ia hanya ditawarkan pada versi diesel kerana enjin turbodiesel 2.2 liter CRDi berkuasa 193 PS dan tork maksima 440 Nm yang dibekalkan dipadankan bersama kotak gear DCT automatik klac basah lapan-kelajuan dan juga sistem AWD HTRAC Hyundai.
Walaupun diklasifikasikan sebagai model facelift, Santa Fe yang dipertingkat ini sebenarnya sudah menggunakan platform baharu. Ia dihasilkan dengan dimensi 4,785 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,685 mm tinggi (1,710 mm dengan rel bumbung) dan jarak rodanya pula sejauh 2,765 mm. Model hibrid pacuan hadapan menampilkan kelegaan tanah 176 mm, manakala model diesel dengan sistem AWD pula diberikan kelegaan lebih tinggi iaitu 206 mm.
Santa Fe facelift ini diberikan muka dengan lampu nyalaan siang di sebelah atas kekal ‘sepet’ dan tirus, manakala lampu hadapan utamanya (menggunakan projektor bi-function LED) pada bampar kini nampak bersepadu terus dengan gril utama. Rekaan ini juga membolehkan satu kemasan seakan liang udara pada bahagian sisi diberikan bersama gril bawah yang lebih besar.
Satu lagi jika anda perasan, grafik LED lampu nyalaan siang pada sebelah atas kelihatan bersambung dengan jalur grafik LED yang menyala pada lampu utama di bawah, menyerlahkan bentuk seakan huruf T.
Di belakang, Santa Fe diberikan lampu dengan kluster yang nampak sama seperti sebelum ini, namun ia kini hadir dengan grafik LED yang juga membentuk huruf T. Manakala bar krom yang merentangi pintu tailgate bagi menyambungkan kedua-dua lampu kini digantikan dengan reflektor berwarna merah.
Perbezaan antara varian boleh dikenali pada sebelah luar menerusi set roda yang dipadankan. Varian Hybrid Plus diberikan rim aloi 17-inci dengan tayar 235/65R17, manakala Hybrid Max pula menerima rim 19-inci dengan tayar 235/55R19. Bagi varian Diesel Max, ia tampil dengan rim aloi paling besar bersaiz 20-inci, dibalut dengan tayar 255/45R20. Dua varian tertinggi Max juga diberikan rel bumbung.
Pada bahagian kabin, rekaan asas papan pemuka Santa Fe facelift ini masih kelihatan sama seperti sebelumnya. Namun rombakan besar dibuat pada konsol terowong tengah di mana ia kini kelihatan lebih tinggi dan lebih landai, dan tombol gear tradisional juga tidak lagi digunakan sebaliknya digantikan dengan butang ‘shift-by-wire’.
Turut kelihatan disebelah butang gear tersebut adalah suis kawalan Terrain Mode, untuk pilihan mod pemanduan Eco, Sport, Comfort dan Smart, serta pilihan mod sistem pacuan semua roda HTRAC yang hadir dengan pilihan Sand, Snow dan Mud.
Varian Hybrid Plus diberikan kluster instrument analog bersama paparan pelbagai info dengan skrin LCD TFT 4.25-inci Supervision, manakala dua varian tertinggi Max menerima panel instrumen digital penuh dengan skrin TFT LCD 12.3-inci, serta tambahan perincian lain seperti tempat duduk balutan kulit (Hybrid Plus dengan balutan fabrik) larasan kuasa dan pintu tailgate bantuan kuasa.
Kesemua varian menerima kit standard yang sama termasuk sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci bersama sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar serta fungsi arahan suara, sistem audio enam-pembesar suara, pendingin hawa dwi-zon dengan liang penghembus kabin belakang, kamera undur dengan Dynamic Parking Guide, sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin, fungsi remote start, brek parkir elektronik, cermin pandang belakang elektro-kromik dan pengecas telefon tanpa wayar.
Untuk keselamatan pula, ketiga-tiga varian dibekalkan dengan dengan enam beg udara, ABS, ESC, bantuan mula-mendaki, kawalan brek turun bukit dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.
Ia juga menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Hyundai SmartSense yang memberikan fungsi cruise control adaptif, Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Ikut Lorong, Amaran Kepekaan Pemandu, Bantuan Lampu Tinggi, Bantuan Mengelak Pelanggaran Titik Buta, Amaran Pelanggaran Titik Buta, Bantuan Mengelak Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang, Kepekaan Penumpang Belakang dan Amaran Keluar Selamat.
Empat warna badan ditawarkan untuk Santa Fe facelift 2024 pasaran Malaysia ini iaitu Snowflake White Pearl, Jet Black, Meteor Grey dan Stormy Sea. Model ini kini sedang dipamerkan di acara Sime Darby Motors Automania yang berlangsung di Tempat Parkir B Stadium Nasional Bukit Jalil bermula hari ini hingga Ahad.
Jadi anda boleh bawa seisi keluarga untuk melihat dan mencuba sendiri SUV segmen-D tujuh-tempat duduk ini ketika acara berkenaan berlangsung. Semua tempahan kenderaan yang dibuat dalam Sime Darby Motor Automania ini akan diberikan peluang untuk memenangi skuter elektrik BMW Motorrad yang bernilai RM38,500.
GALERI: Hyundai Santa Fe facelift 2024 di Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.