Mitsuoka M55 Zero Edition akan dijual pada harga RM233k; hanya 100 unit, diasaskan dari Honda Civic

Mitsuoka M55 Zero Edition akan dijual pada harga RM233k; hanya 100 unit, diasaskan dari Honda Civic

November tahun lalu jenama pengeluar kenderaan retro-moden Jepun, Mitsuoka telah pun mendedahkan model konsep yang digelar sebagai Mitsuoka M55 Concept yang dihasilkan sempena ulangtahun ke-55 syarikat tersebut. Dan pada Februari lalu, ‘Dodge Challenger jadian’ yang diasaskan dari Honda Civic hatchback FL1 pasaran domestik Jepun tersebut telahpun diumum bakal dihasilkan dalam versi produksi dengan rupa yang sama.

Baru-baru ini Mitsuoka telahpun mengesahkan bahawa tempahan untuk M55 telahpun dibuka, dan penghantarannya kepada pelanggan akan bermula tahun hadapan. Walau bagaimanapun, model ini akan dihasilkan dalam versi edisi terhad hanya 100 unit yang digelar sebagai M55 Zero Edition.

Ia diumumkan akan dijual pada harga 8,085,000 yen atau sekitar RM233k, manakala pembeli yang berminat perlu membayar deposit tempahan sebanyak 550,000 yen iaitu sekitar RM16k. Namun, bukan semua yang menempahnya akan menerima kereta ini kerana Mitsuoka akan membuat cabutan loteri untuk menentukan pelanggan bertuah yang dapat membeli kereta M55 Zero Edition tersebut.

Mitsuoka M55 Zero Edition akan dijual pada harga RM233k; hanya 100 unit, diasaskan dari Honda Civic

Tempahan akan ditutup pada 19 Januari 2025, dan bagi mereka yang tidak berjaya wang deposit 550,000 yen berkenaan akan dikembalikan sepenuhnya.

Seperti yang anda boleh lihat, M55 dihasilkan dengan rupa seakan sebuah kereta Muscle Amerika, tetapi bentuk dari tiang-A, pintu hadapan, belakang dan cermin suku belakang serta tiang-C pada kereta ini mendedahkan ia diasaskan dari Honda Civic Hatchback FL1.

Bahagian hadapan Civic FL1 ini telah ‘disumpah’ dengan bonet, fender sisi, bampar, lampu bulat berkembar dan juga gril menyerupai Dodge Challenger. Sementara bahagian pintu hatch belakang Civic yang direka landai, Mitsuoka menghasilkan lampu belakang bersama kemasan penutup but dan juga louvre pada cermin belakang seakan Ford Mustang Mach 1.

Pada bahagian dalam, M55 Concept ini masih mengekalkan papan pemuka dan juga roda stereng asal Civic, cuma logo ‘H’ pada bahagian tengah roda stereng tersebut telah diganti dengan logo Mitsuoka. Selain itu tempat duduk asal Civic tersebut telah dibalut semula dengan material yang nampak seperti kulit, sekali lagi dengan gaya American Muscle menampilkan kemasan cecincin aloi.

Bagi model produksi ini tulisan “Mitsuoka M55 Concept” pada perehat belakang tempat duduk hadapan telah ditukar kepada “M55 Zero Edition”.

Dalam versi konsep M55 ini dihasilkan dalam versi unit rangkaian kuasa yang menggandingkan enjin 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 180 hp (182 PS) dan tork maksima 240 Nm bersama kotak gear manual enam-kelajuan. Namun untuk model produksi ini Mitsuoka mungkin akan menawarkan kotak gear CVT dan juga pilihan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV.

GALERI: Mitsuoka M55 Concept

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required