Banjir besar sedang melanda sembilan daerah di Kelantan menyebabkan 9,868 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 3 petang hari ini, menurut laporan Berita Harian. Pasir Mas mencatatkan jumlah pemindahan tertinggi iaitu 2,290 orang, diikuti Pasir Puteh (1,605), Kota Bharu (1,570), Kuala Krai (1,347), Tanah Merah (815), Tumpat (691), Bachok (600), Jeli (544) dan Machang (406).
Video dan gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan paras air meningkat kepada tanda berbahaya di banyak kawasan di negeri ini. Rantau Panjang dikatakan hampir “lumpuh” kerana jalan masuk utamanya ditenggelami air, dengan hanya kenderaan berat yang boleh melalui kawasan itu.
Dilaporkan, antara jalan yang ditutup untuk semua kenderaan ialah Jalan Bukit Panau-Bendang Nyior di Tanah Merah, kebanyakan jalan-jalan utama di Pasir Mas, dan di Machang pula melibatkan Jalan Pulai Chondong-Kemubu, Jalan Machang-Pangkal Petai-Wakaf Bata-Kg. Cina dan Sg. Mati-Kerawang.
Dalam keadaan cuaca tidak menentu begini, elok rancang perjalanan anda dan peka terhadap laporan perubahan cuaca dari semasa ke semasa. Untuk pemilik kenderaan, jangan lupa mengambil perlindungan special perils atau bencana alam — memang akan ada kos tambahan, tetapi sangat membantu jika kenderaan anda rosak akibat banjir.
Jika tiada keperluan, tangguhkan dahulu perjalanan anda dan tunggu sehingga hujan reda dan keadaan bertambah baik sebelum memulakan perjalanan. Elak dari meredah air banjir yang kita tidak tahu kedalamannya dan dibimbangi kenderaan akan hanyut dibawa arus yang pastinya mendatangkan risiko buat anda. Jika kediaman atau kawasan anda dinaiki air, bertindak pantas mengalihkan kenderaan anda ke kawasan yang lebih selamat.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.