Bukan setakat Kelantan, kini Terengganu, Perlis, Kedah, Johor dan Perak juga dilaporkan sedang berhadapan dengan bencana banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negara kita. Setakat jam 11 pagi tadi, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 37,189 orang membabitkan 11,385 keluarga di negeri-negeri tersebut.
Di Terengganu, dilaporkan sebanyak 31 jalan termasuk dua jalan utama ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air berikutan hujan lebat sejak pagi semalam. Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir Dr Hasli Ibrahim, memaklumkan, penutupan jalan membabitkan tujuh di Besut, Hulu Terengganu (sembilan), Setiu (enam), Kemaman (lima) dan Dungun (empat), laporan Berita Harian.
Menurut beliau, dua jalan utama yang ditutup adalah Jalan Seberang Jertih ke Bukit Yong sempadan Terengganu-Kelantan di Kampung Nangka, Besut yang dinaiki air sedalam kira-kira 0.8 meter (m) sejauh 600 m dan Jalan Air Putih-Chukai di Kampung Tasik Biru, Kemaman yang ditenggelami air sedalam 0.35 m sejauh 100 m.
“Selain itu, 13 lagi jalan turut ditutup secara berperingkat sejak semalam kepada kenderaan ringan. Antara jalan yang ditutup adalah empat di Besut, Hulu Terengganu (satu), Setiu (lima), masing-masing satu di daerah Kemaman dan Marang,” katanya.
Mengenai kejadian tanah runtuh, Hasli berkata, hanya satu laluan ditutup iaitu di Kilometer 187 hingga 189, Kenyir ke Aring selepas berlaku mendapan tanah.
Dalam keadaan cuaca tidak menentu begini, elok rancang perjalanan anda dan peka terhadap laporan perubahan cuaca dari semasa ke semasa. Untuk pemilik kenderaan, jangan lupa mengambil perlindungan special perils atau bencana alam — memang akan ada kos tambahan, tetapi sangat membantu jika kenderaan anda rosak akibat banjir.
Jika tiada keperluan, tangguhkan dahulu perjalanan anda dan tunggu sehingga hujan reda dan keadaan bertambah baik sebelum memulakan perjalanan. Elak dari meredah air banjir yang kita tidak tahu kedalamannya dan dibimbangi kenderaan akan hanyut dibawa arus yang pastinya mendatangkan risiko buat anda. Jika kediaman atau kawasan anda dinaiki air, bertindak pantas mengalihkan kenderaan anda ke kawasan yang lebih selamat.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.