Tak cukup dengan jenama-jenama telefon pintar seperti Huawei dan Xiaomi yang terjun ke bidang automotif khususnya kenderaan elektrik (EV), kini ada pula syarikat penerbangan dari China juga cuba untuk masuk industri yang sama. Memperkenalkan JY Air, kereta elektrik liftback lima-pintu dari JuneYao Auto, iaitu syarikat EV baharu dari China yang diwujudkan oleh syarikat penerbangan JuneYao Airlines.
Syarikat ini ditubuhkan selepas JuneYau Airlines membeli satu syarikat automotif yang telah gagal iaitu Yudo Auto pada 2022. Apa yang menarik, JY Air ini membuat kemunculan global sulungnya di Thailand terlebih dahulu dengan dilancarkan secara rasmi ketika berlangsungnya Thai Motor Expo 2024, dan ia belum lagi diperkenalkan di China.
Penghasilan JY Air ini didakwa diinspirasikan dari “pengalaman dari penerbangan merentas lautan.” Oleh itu JuneYao menyatakan bahawa lampu hadapan berbentuk-C pada kereta ini menampilkan 240 unit LED, menyamai lampu pada bahagian belakang sayap pesawat, manakala bentuk bumbung yang landai ke belakang diinspirasikan dari “pemandangan kaki langit yang dilihat semasa penerbangan malam.”
Manakala pada bahagian belakang, JY Air ini menerima lampu OLED penuh yang merentangi sepenuhnya penutup but, dan ia terletak di bawah cermin utama. Secara keseluruhan, bentuk badan liftback ini memberikan pekali geseran yang agak rendah iaitu hanya 0.23.
Seperti kebanyakkan EV dari China, JY Air turut menampilkan bahagian kabin dengan papan pemuka yang minimalis. Papan pemuka tersebut kelihatan ‘kosong’ tanpa sebarang suis fizikal, dan ia diberikan skrin utama di tengah bersaiz 15.6-inci, dan juga skrin paparan instrumen lebih kecil untuk pemandu diletakkan di belakang roda stereng.
Skrin utama tadi boleh diputarkan dalam 15 langkah termasuk boleh dihalakan ke arah pemandu atau penumpang hadapan. Ia beroperasi menggunakan Crystal OS dan juga cip Qualcomm Snapdragon 8155, serta akan mengalu-alukan penumpang masuk ke dalam kabin dengan ucapan “welcome on board”.
Konsol tengah pula direka tinggi dan menyediakan ruang storan besar pada bahagian bawah, manakala di atas terdapat pad pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi berkembar. JunYao mendakwa bahawa 75% bahagian kabin JY Air ini dibalut dengan material sentuhan lembut, termasuk upholsteri kulit sintetik pada tempat duduk.
Ia juga dipadankan dengan bumbung cermin panaromik yang besar dengan keluasan dua meter persegi bagi memberikan rasa luas pada kabin yang sememangnya sudah luas dengan jarak antara roda sejauh 2,800 mm.
Di Thailand JY Air ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Standard dan Plus, dimana kedua-duanya menampilkan konfigurasi motor tunggal yang memacu hanya roda hadapan. Bagi varian asas Standard, motor berkenaan mampu menghasilkan kuasa 204 PS (150 kW) dan tork maksima 250 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 170 km/j. Manakala bagi varian Plus pula, motor yang dibekalkan adalah lebih berkuasa dengan 216 PS (159 kW).
Untuk bekalan kuasa, JY Air Standard menerima bateri litium logam fosfat (LFP) dari CATL berkapasiti 52 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 430 km dalam kitaran ujian NEDC. Bagi JY Air Plus pula ia menerima bateri LFP lebih besar berkapasiti 64 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 520 km juga dalam kitaran NEDC.
Untuk mengecas, kedua-duanya juga diberikan sokongan pengecas pantas DC tetapi dengan keupayaan berlainan. Varian Standard boleh menerima sehingga 70 kW bagi membolehkan cas 30% hingga 80% dipenuhkan dalam masa 30 minit, manakala varian Plus mampu menerima sehingga 138 kW membolehkan kadar cas yang sama boleh dipenuhkan 10 minit lebih pantas iaitu hanya 20 minit.
Sistem pengecas AC pula adalah sama bagi kedua-duanya iaitu sehingga 11 kW. Namun disebabkan kapasiti bateri berbeza, varian Standard memerlukan masa 5.3 jam untuk memenuhkan bateri dari 10% hingga 100%, manakala Plus pula mengambil masa sehingga 6.5 jam.
Bagi sistem keselamatan, kedua-dua varian ini dibekalkan dengan sistem bantuan termaju yang merangkumi sistem brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan kekal tengah lorong dan bantuan had laju. Namun bagi varian Plus, ia menerima fungsi tambahan iaitu pemantau titik buta, amaran pelanggaran belakang, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik, pemantau perhatian pemandu dan amaran buka pintu. Varian Plus juga menerima tujuh beg udara, berbanding hanya dua pada Standard.
Ketika dilancarkan JY Air ditawarkan dengan harga promosi bermula 759,000 baht (RM98,500) untuk varian Standard dan 869,000 baht (RM112,700) untuk varian Plus. Manakala selepas 30 Disember 2024, harganya akan meningkat bermula 899,000 baht (RM116,600) untuk Standard dan 1,018,000 baht (RM132,100) untuk Plus.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.