Selepas tempahannya dibuka bulan lalu, hari ini secara rasmi UMW Toyota melancarkan Corolla Cross facelift pada pasaran Malaysia ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024. Bagi kemaskini kali ini, Corolla Cross ditawarkan dalam tiga varian dengan hanya model paling asas diberikan enjin petrol penuh, manakala dua varian lebih tinggi menerima unit rangkaian kuasa hibrid.
Varian paling asas Corolla 1.8V dijual pada harga RM133,800, diikuti Corolla Cross Hybrid Electric dijual pada harga RMRM140,800, manakala varian lebih sporty Corolla Cross HEV GR Sport (sebelum ini hanya ditawarkan dengan enjin petrol penuh sahaja) dijual pada harga RM148,800. Angka-angka yanbg disebut merupakan harga atas jalan tanpa insuran.
Model kemaskini ini masih dipasang secara tempatan (CKD) menerusi kilang UMW Toyota yang terletak di Bukit Raja, Selangor. Ia menerima rombakan rekaan pada bahagian muka dengan diberikan lampu hadapan LED-penuh baharu dengan lampu isyarat membelok sequential, bersama gril atas yang lebih nipis. Manakala gril pada bahagian bampar kini direka tanpa bingkai dan menampilkan elemen sarang lebah.
Lima warna ditawarkan untuk Corolla Cross Hybrid Electric iaitu Celestite Grey Metallic, Red Mica Metallic, Silver Metallic, Platinum White Pearl dan warna baharu Dark Turquoise.
Pada bahagian dalaman, ia masih menerima papan pemuka yang sama seperti sebelum ini tetapi diberikan beberapa tingkat taraf. Antaranya adalah pedal kaki untuk brek parkir pada model sebelum ini telah digantikan dengan brek parkir elektronik yang lebih moden, serta memberikan fungsi brake hold automatik.
Untuk model dengan enjin petrol sepenuhnya, ia masih diberikan paparan instrumen analog bersama paparan pelbagai informasi menerusi skrin TFT berwarna 4.2-inci. Manakala model hibrid pula diberikan paparan instrument digital sepenuhnya menerusi skrin 12.3-inci bagi memberikan informasi sistem hibrid. Skrin tersebut juga menampilkan tiga susunan berbeza dan juga empat tema visual (Casual, Smart, Tough, Sporty) yang boleh dipilih.
Manakala skrin infotainmen sembilan-inci sebelum ini telah digantikan dengan skrin 10.1-inci yang lebih besar dan diberikan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay hubungan tanpa wayar, serta memberikan paparan monitor pandangan 3D panaromik. Sistem telemetik kenderaan yang telah ditingkat taraf dengan fungsi penghidup enjin jarak jauh.
Varian 1.8V dan juga Hybrid Electric menerima balutan upholsteri yang sama menggandingkan kulit hitam dan perang pada tempat duduk dan serlahan benang perak.
Bagi varian GR Sport, ia dilihat masih menggunakan rekaan yang hampir sama seperti versi sebelum facelift. Ia hadir dengan gril GR Sport, lampu belakang dengan lensa jernih sepenuhnya dan juga kemasan bawah bampar belakang dengan lencana GR. Model ini juga ditawarkan dengan tiga warna duo tona iaitu Platinum White Pearl, Red Mica Metallic dan Dark Turquoise – semuanya digandingkan dengan bumbung hitam.
Manakala pada bahagian dalaman, model GR Sport ini datang dengan upholsteri kulit hitam dan serlahan jahitan benang merah serta logo GR yang cop pada perehat kepala tempat duduk hadapan dan juga tombol gear serta roda stereng balutan kulit.
Varian GR Sport ini bukan hadir dengan hanya gaya lebih garang, malah ia turut menawarkan set suspensi lebih keras, talaan lebih sporty pada kotak komputer stereng kuasa elektrik (EPS) dan juga set pendakap-pendakap casis bagi memberikan prestasi pengendalian yang lebih sporty.
Unit rangkaian kuasa masih tidak berubah dengan model petrol penuh dijana oleh enjin 2ZR-FE 1.8 liter Dual VVT-i yang menghasilkan kuasa 139 PS pada takat 6,400 rpm dan tork maksima 172 Nm pada takat 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT yang diberikan tujuh-kelajuan maya dengan mod manual, bagi memacu hanya roda hadapan.
Manakala varian-varian dengan unit rangkaian kuasa hibird, ia menggandingkan enjin kitaran Atkinson 2ZR-FXE 1.8 liter Dual VVT-i NA empat silinder berkuasa 98 PS dan tork maksima 142 Nm bersama dua motor elektrik di mana motor utamanya berkuasa 72 PS/163 Nm, bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 122 PS untuk memacu roda hadapan menerusi kotak gear E-CVT.
Motor berkenaan menerima kuasa dari pek bateri Ni-MH 168 sel yang diletakkan dibawah tempat duduk belakang, membolehkan ruang but belakang kekal besar dengan kapasiti 440 liter.
Kesemua tiga varian menerima rim aloi 18-inci yang dibalut dengan tayar Toyo bersaiz 225/50R18. Namun rekaannya berbeza di mana varian 1.8V dan Hybrid Electric datang dalam kemasan Dark Grey Metallic dan aloi digilap, manakala varian GR Sport datang dalam kemasan dua tona.
Untuk keselamatan, kesemua varian Corolla Cross pasaran Malaysia menerima kelengkapan standard termasuk Pemantau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Bantuan Mula Mendaki dan Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS). Kelengkapan keselamatan standard lain yang turut dibekalkan termasuk tujuh-beg udara, cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix di belakang serta penderia parkir hadapan dan belakang.
Kesemua varian juga datang dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) yang menampilkan fungsi seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng, cruise control adaptif, Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).
Semua varian diberikan pelindungan waranti lima tahun tahun tanpa had perbatuan. Manakala bagi varian-varian hibrid ia ditambah dengan waranti selama lapan-tahun tanpa had perbatuan untuk bateri hibrid, inverter dan juga unit kawalan komputer (ECU) pengurusan tenaga.
Pembeli turut ditawarkan dengan perlindungan tambahan selama dua-tahun untuk sistem elektrifikasi tersebut dengan tambahan bayaran, dan waranti ini turut boleh ditukar kepada pemilik seterusnya bagi memberikan nilai jualan balik yang lebih baik serta memberikan ketenangan minda buat pemilik, kata UMW Toyota.
Toyota Corolla Cross Hybrid Electric
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Haval H6/Chery Tiggo Pro7 mmg berbaloi untuk beli toka macam Corolla Cross. Tengok Corolla Cross tak boleh lawan Haval H6/Tiggo Pro7 dari segi performance, reliability, spec, comfort dan praktikal