Dipertontonkan kali pertama di Malaysia Oktober lalu, MINI Cooper S 5 Door kini sudah mempunyai harga jualan untuk pasaran Malaysia. Model yang masih menggunakan enjin petrol ini dijual pada harga RM293,888 tidak termasuk insurans, dan datang bersama jaminan dua tahun tanpa had batuan. Jika pemilik mahukan jaminan empat tahun dan pakej servis, ia menjadi RM304,288.
Dalam barisan produk yang ditawarkan oleh MINI, model F65 baru ini menyertai model F66 3 Door, dengan spesifikasi serta prestasi yang sama, tetapi datang dengan pintu tambahan dan harga RM14,000 lebih tinggi. Berbeza berbanding model elektrik Cooper SE J01 yang menggunakan rekaan serba baru, model ini pula boleh dianggap lebih kepada facelift kepada F55 sebelumnya.
Disebabkan itu, bahagian mekanikal masih sama, iaitu menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter turbo bersama transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan, menghasilkan kuasa 204 PS dan tork 300 Nm untuk dihantar kepada roda hadapan.
Kelengkapan standard yang diberikan termasuklah rim dua-tona ‘Slide Spoke’ 18-inci, lampu utama LED adaptif, kemasan dalam hitam berkilat, pantulan lampu logo MINI di luar, dan lampu belakang LED matriks. Di dalam pula ia dilengkapi sistem tanpa kunci, MINI Digital Key Plus, pelindung papan pemuka kaitan 3D, kawalan pendingin hawa dua zon, tempat duduk larasan manual yang dibalut kulit tiruan Vecsin kelabu/hitam dan lampu bercorak di papan pemuka.
Berkenaan teknologi, anda akan menerima skrin sesentuh OLED diameter 9.4-inci dijanakan oleh MINI Operating System 9, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, head-up display, pengecas Qi tanpa wayar, bantuan letak kenderaan, kamera 369 darjah serta sistem audio Harman Kardon dengan 12 pembesar suara.
MINI Cooper S 5 Door ini datang secara standard dengan pakej Driving Assistant Plus, yang memberikan Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dengan stop and go, Lane Centring Assist, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Traffic Sign Recognition dan Rear Collision Warning. Untuk warna, ada empat pilihan yang disediakan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.