Perodua agak senyap sepanjang tahun ini – tiada sebarang pelancaran model baharu dibuat, malah tiada juga sebarang hebahan berkenaan rekod jualannya diumum setiap bulan mahupun setiap suku. Namun hakikatnya Perodua macam ubi sekarang ini – diam-diam tapi berisi.
Ketika hari pertama Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 dibuka kepada media Rabu lalu, Perodua bukan sahaja mendedahkan model konsep EV eMO-II yang bakal dijelmakan sebagai model produksi EV dengan harga bawah RM100k dijadualkan akan dilancarkan hujung tahun depan, malah presiden dan CEO pengeluar automotif tempatan itu, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad menyatakan bahawa syarikatnya bakal mencatatkan satu lagi rekod jualan tahun ini.
Dengan baki hanya tinggal sebulan, Perodua kini mensasarkan jualan sekitar 353,000 unit untuk tahun ini. Sekiranya tiada sebarang masalah berlaku, kilang-kilang Perodua di Rawang bakal menghasilkan sebanyak 364,000 unit kenderaan menjelang hujung tahun nanti, dan sasaran jualan itu bakal dicapai kerana kebanyakkan unit yang dihasilkan biasanya tidak banyak disimpan sebagai stok tanpa pembeli.
Mei lalu Perodua mengumumkan bahawa sasaran jualannya untuk tahun ini adalah sama seperti 2023, di mana ia berjaya menjual sebanyak 330,325 unit tahun lalu. Angka berkenaan adalah 17.1% lebih tinggi dari 282,019 unit yang didaftarkan pada 2022, dan ia juga merupakan rekod jualan tahunan tertinggi Perodua setakat ini. Jadi sekiranya jumlah 353,000 unit dicapai tahun ini, ia merupakan satu lagi rekod baharu dan 7% lebih tinggi berbanding tahun lalu.
Zainal menjangkakan jumlah volum industri (TIV) Malaysia tahun ini juga akan berada pada tahap lebih kurang sama dengan tahun lalu iaitu sekitar 800,000 unit. Sekiranya jumlah jualan 353,000 unit berjaya dicapai oleh Perodua berbanding TIV 800,000 unit, ini bermakna ia memegang bahagian pasaran sebanyak 44.1%.
Bagi yang belum mengetahui, Perodua sudahpun menjadi pengeluar automotif ketiga terbesar di ASEAN pada 2023. Dengan jumlah jualan lebih baik tahun ini, ia sudah tentu masih boleh mengekalkan kedudukan tersebut tahun ini. Sasaran untuk jadi nombor tiga dalam ASEAN ni macam pernah dengar kan?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.