Perodua mencatatkan jualan terbaik sepanjang masa pada tahun lalu dan ia diumumkan oleh Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dalam ucapannya menerusi acara Malaysia Autoshow 2024.
Di mana pada tahun lalu, Perodua berjaya merekodkan jualan sebanyak 330,325 unit, iaitu kenaikan sebanyak 17.1% berbanding 282,019 unit yang didaftarkan pada tahun 2022. Apa pun, jualan yang dicatatkan pada tahun 2022 merupakan peningkatan yang begitu ketara iaitu sekitar 48.2% berbanding 190,291 unit yang dijual pada 2021.
Pada November 2023, Perodua telah menyemak semula sasaran jualan iaitu dinaikkan ke 325,000 unit berbanding sasaran awal 314,000 unit yang diumumkan pada Januari. Sasaran baharu itu dilakukan kerana Perodua berjaya meningkatkan pengeluaran mereka, dengan Bezza menjadi model keluarannya yang paling popular.
Untuk tahun ini, Perodua menyasarkan untuk mengekalkan jualan pada 330,000 unit. Ia boleh disifatkan sebagai sasaran yang optimis, apatah lagi suku pertama tahun ini bermula dengan baik di mana Perodua mencatatkan jualan cecah 112,845 kenderaan, meningkat sebanyak 15.8% berbanding 97,438 unit yang terjual antara Januari hingga April 2023.
Seperti biasa, jualan yang dicatatkan adalah sepadan dengan pengeluaran, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 15% kepada 118,547 unit dari Januari hingga April 2024, meningkat daripada 103,041 unit yang dilancarkan pada suku pertama 2023. Berkenaan dengan tempoh waktu menunggu pula, Perodua berkata kini disasarkan antara satu hingga lima berbulan, berbanding lapan hingga 10 bulan tempoh menunggu pada tahun lalu.
Untuk penganjuran Malaysia Autoshow 2024 ini, Perodua turut mempamerkan kenderaan elektrik konsep Myvi yang digelar emo-1 dan juga model konsep Aruz X-Cape yang sesuai untuk aktiviti luar termasuk perkhemahan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

