Isuzu Malaysia hari ini membuka tempahan bagi model paling mampu milik untuk trak pikap Isuzu D-Max facelift iaitu varian Low-Ride 4×2 MT. Varian lebih rendah, pacuan roda belakang serta kotak gear manual yang disasarkan untuk kegunaan kerja dan perniagaan ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM92,199 di Semenanjung Malaysia, RM94,280 di Sabah dan RM94,170 di Sarawak.
Jadi varian ini adalah hampir RM7,000 lebih murah berbanding varian paling murah sebelum ini iaitu D-Max 1.9L Single Cab 4×4 MT yang dijual pada harga RM98,949. Malah dengan badan Double-Cab, varian baharu ini juga boleh membawa lebih ramai penumpang.
Isuzu D-Max Low-Ride 4×2 ini masih digerakkan dengan enjin turbodiesel RZ4E-TC 1.9 liter empat-silinder berkuasa 150 PS dan tork 350 Nm yang telah mencatatkan rekod dalam Malaysian Book of Record kerana berjaya bergerak sejauh 2,000 km dengan satu tangki bahan api berkapasiti 76-liter. Ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual bagi menghantar kuasa sepenuhnya ke gandar belakang.
Antara perincian yang diberikan termasuk tempat duduk fabrik, radio 1-DIN, stereng larasan atas-bawah dan teleskopik, sistem kunci sentral dan juga cermin sisi larasan elektronik. Menerusi jarak kelegaan tanah hanya 78 cm, Isuzu menyatakan bahawa ia dapat memudahkan barang dinaikkan pada ruang bed belakang.
Manakala untuk keselamatan, D-Max Low-Ride 4X2 ini dilengkapi dengan dua beg udara, Brake Override System (BOS), Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan, lampu Follow-Me Home dan penderia undur – menurut Isuzu Malaysia, sistem keselamatan asas ini sudah cukup membolehkan D-Max menerima penarafan lima-bintang ASEAN NCAP.
Model ini hanya ditawarkan dengan hanya satu pilihan warna badan iaitu Splash White. Ia turut diberikan perlindungan waranti pengeluar selama lima-tahun atau 150,000 km. Penghantaran pertama untuk pelanggan terawal menempah trak pikap ini akan bermula bulan hadapan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.