Sedan EV yang dibangunkan dan telah dilancarkan di China November tahun lalu iaitu Mazda EZ-6 telah disahkan bakal dipasarkan di Eropah pada musim panas 2025. Di benua berkenaan, model ini akan dinamakan semula sebagai Mazda 6e (sebagai penerus model Mazda 6 sebelum ini) dan bakal ditawarkan dalam dua varian unit rangkaian kuasa iaitu Mazda 6e dan Mazda 6e Long Range.
Bagi model asas Mazda 6e, ia dilengkapi dengan bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 68.8-kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 479 km berdasarkan kitaran ujian WLTP. Model ini digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 258 PS dan tork 320 Nm yang memacu roda belakang, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 175 km/j.
Ia boleh menerima sistem cas pantas DC sehingga 200 kW, membolehkan kadar cas 10% hingga 80% dicapai dalam masa 22 minit, manakala jarak gerak sejauh 235 km dapat dicapai dengan cas hanya selama 15 minit.
Manakala bagi Mazda 6e Long Range, ia menerima bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 80-kWj yang, memberikan jarak gerak sejauh 552 km. Jarak yang lebih jauh ini bukan hanya disumbang oleh bateri lebih besar, malah kuasa yang dihasilkan pada motor elektrik juga lebih rendah iaitu 245 PS dan tork 320 Nm. Kelajuan maksima masih sama pada 175 km/j, tetapi pecutan 0-100 km/j adalah sedikit lambat iaitu 7.8 saat.
Walau bagaimanapun kapasiti mengecas untuk sistem DC pada Mazda 6e LR ini adalah lebih rendah iaiitu 95 kW, di mana cas 10%-80% dapat dipenuhkan dalam masa 45 minit. Di China, varian Long Range ini tidak ditawarkan, sebaliknya ia diganti dengan model yang menerima bateri LFP 56.1-kWj.
Kedua-dua varian ini diberikan sistem mengecas AC dengan kapasiti yang sama iaitu 11 kW, di mana kadar cas 10%-80& dapat dipenuhkan dalam masa lapan jam untuk Mazda 6e atau 9.5 jam untuk varian Mazda 6e Long Range.
Tidak ada perubahan rupa untuk Mazda EZ-6 pasaran China dan Mazda 6e pasaran Eropah. Ia menampilkan gril hadapan dengan logo yang bernyala, bersama bar lampu belakang yang akan menampilkan denyutan bagi memberikan isyarat berkenaan status kadar cas bateri.
Ia juga datang dengan spoiler belakang aktif yang akan naik secara automatik pada kelajuan 90 km/j serta boleh dioperasikan secara manual. Lapan warna badan ditawarkan termasuk Melting Cooper dan Aero Grey, manakala untuk roda ia dilengkapi dengan rim 19-inci.
Selain itu sedan ini turut diberikan bumbung panaromik, lampu suasana kabin 64-warna, upholsteri kulit sintetik sama ada dalam warna Warm Beige atau Hitam (kulit Nappa Tan bersama sued ditawarkan secara opsyen), paparan head-up AR, paparan instrumen digital dengan skrin 10.2-inci, skrin sesentuh utama 14.6-inci, skrin sesentuh kabin belakang dan juga sistem bunyi SonyPRO 14-pembesar suara.
Ia turut diberikan fungsi kawalan gestur tangan serta kunci Bluetooth yang membolehkan pemandu menggunakan telefon pintar untuk mengunci dan menghidupkan kereta yang boleh dikongsi sehingga tiga orang. Mazda 6e ini juga dibekalkan dengan enam mod pintar iaitu Leaving Mode, Rest Mode, Relax Mode, Car Wash Mode, Private Call Mode dan Fresh Air Mode bagi melaras beberapa fungsi dengan hanya satu arahan.
Model ini juga dijangka akan merangkul penarafan lima-bintang dalam ujian penilaian Euro NCAP dengan dilengkapi sistem bantuan pemanduan seperti pengekal lorong kecemasan, amaran pelanggaran hadapan dan belakang, brek kecemasan automatik dan pelbagai lagi. Fungsi-fungsi ini disokong oleh pelbagai kamera, radar-radar gelombang-milimeter dan ultrasonic.
Selain dari Eropah, Mazda 6e juga akan dijual di United Kingdom pada separa pertama 2026, bermaksud model ini turut bakal dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kanan.
Mazda 6e/EZ-6 ini merupakan model yang dibangunkan oleh Mazda bersama pengeluar automotif China iaitu Changan. Ia menggunakan platform EPA Hybrid yang sama dengan sedan EV Deepal L07, iaitu jenama di bawah Changan. Apa yang menarik, pengedar Mazda di Malaysia iaitu Bermaz Auto telah pun mewujudkan subsidiari Bermaz Changan dan dianugerahkan hak pengedaran jenama Deepal di Malaysia pada November tahun lalu.
Menerusi kerjasama itu, Bermaz Changan dijangka bakal melancarkan Deepal S05 dan S07 di Malaysia pada pertengahan 2025. Dan dengan pengenalan Mazda 6e versi RHD di UK tahun depan, mungkin model ini turut akan dibawa oleh Bermaz ke Malaysia bagi menggantikan Mazda 6 generasi sedia ada yang kini berada dipenghujung produksinya?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.