Hyundai Ioniq 5 N DK Edition – EV prestasi tinggi dibangun bersama ikon JDM Keiichi Tsuchiya!

Hyundai Ioniq 5 N DK Edition – EV prestasi tinggi dibangun bersama ikon JDM Keiichi Tsuchiya!

Tahun lalu ikon budaya permotoran Jepun iaitu pelumba dan drifter lagenda Keiichi Tsuchiya dijemput untuk merasai sendiri barisan model-model prestasi tinggi Hyundai N termasuk hot-hatch EV sayap perlumbaan jenama automotif Korea Selatan itu, Hyundai Ioniq 5 N. Nampaknya Tsuchiya atau dikenali dengan gelaran ‘DK’ (Drift King) benar-benar berminat dengan model tersebut, dan kini kedua-dua pihak sudahpun bekerjasama untuk menghasilkan model istimewa – ini dia Hyundai Ioniq 5 N DK Edition!

Model istimewa ini dibangunkan menerusi pelbagai siri ujian dan talaan oleh Tsuchiya sendiri, bagi menghasilkan sebuah Ioniq 5 N yang menampilkan karekterisitik pemanduan seperti yang digemarinya. Seperti biasa perkara yang paling dititik beratkan oleh Tsuchiya adalah suspensi, dan ini adalah talaan pertama yang dibuat untuk model istimewa berkenaan.

Dalam ujian tersebut, Keiichi Tsuchiya mendapati tiada penyerap hentak boleh laras yang mampu menandingi kemampuan penyerap hentak adaptif kawalan elektronik asal Ioniq 5 N ini. Namun ia masih lagi boleh ditambahbaik dengan menggantikan spring asal kepada spring H&R yang menjadikan badan hot-hatch EV ini 15 mm lebih rendah. Penukaran spring berkenaan bukan sahaja menjadi stance Ioniq 5 N DK Edition ini nampak lebih gagah, malah ia turut memberikan titik graviti lebih rendah bagi menghasilkan prestasi pengendalian menerusi kestabilan dan pergerakan olengan lebih baik.

Talaan suspensi berkenaan dilengkapkan dengan set roda baharu – model ini masih menampilkan rim berdiameter 21-inci, tetapi ia dibina menggunakan material aloi forged dengan lebar 10j. Menurut Hyundai N, rim dengan rekaan lima-jejari berkembar ini secara keseluruhannya dapat mengurangkan sebanyak 10.6 kg berbanding set rim asal. Ia masih dibalut dengan tayar Pirelli P Zero Elect bersaiz 275/35R21.

Hyundai Ioniq 5 N DK Edition – EV prestasi tinggi dibangun bersama ikon JDM Keiichi Tsuchiya!

Keiichi Tsuchiya turut membuat tingkat taraf brek dengan menukar angkup hadapan dari empat omboh kepada enam omboh monoblok. Angkup baharu ini juga dibina dari material aloi super duralumin yang lebih ringan dan kuat, serta memberikan kawasan yang diapit pad brek 54% lebih besar. Kesemua pad brek Ioniq 5 N DK Edition ini menggunakan pad yang lebih berprestasi tinggi berbanding versi biasa.

Kesemua komponen mekanikal tingkat taraf pada Ioniq 5 N instimewa ini datang dengan logo ‘DK Edition’ serta diberikan kemasan hijau, iaitu warna rasmi sut lumba Keiichi Tsuchiya sendiri. Dan satu lagi identiti Tsuchiya terhadap kereta-kereta sentuhannya iaitu penggunaan kit aero dari material karbon kering turut diterapkan pada Ioniq 5 N ini.

Kit berkenaan terdiri dari splitter udara bawah bampar hadapan, skirt sisi, diffuser udara belakang dan juga spoiler bumbung yang jauh lebih besar dari asal. Hyundai menyatakan kit aero ini memberikan tambahan downforce keseluruhan 93 kgf pada kelajuan 140 km/j, seterusnya memberikan kestabilan lebih baik pada kelajuan tinggi.

Badan Hyundai Ioniq 5 N DK Edition ini diberikan warna putih dan hitam, bersama serlahan jalur hijau dan juga pelekat dengan grafik logo ‘DK Edition’. Ini memberikan imej seakan kereta harian Keiichi Tsuchiya yang dipandu setiap hari iaitu Toyota Sprinter Trueno AE86 ‘Touge Maou’.

Tiada peningkatan kuasa diumumkan untuk model ini, menandakan ia masih sama seperti model standard. Ioniq 5 N menerima dua buah motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan kebolehan sistem AWD. Kedua-dua motor berkenaan dipadankan pada gandar pacuan berintegrasi (IDA) yang diinspirasikan dari jentera WRC sebenar, bagi memastikan ia tahan asakan dari motor elektrik berkuasa tinggi. Motor yang memacu gandar hadapan menghasilkan kuasa 226 PS, manakala motor pada gandar belakang pula berkuasa 385 PS.

Secara keseluruhan, ia menghasilkan kuasa gabung 609 PS, dan meningkat kepada 650 PS bersama tork maksima 770 Nm apabila mod N Grin Boost (NGB) diaktifkan. Ini membolehkan Ioniq 5 N tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat (3.5 saat jika NGB tidak digunakan), sebelum mencapai kelajuan maksima 260 km/j (Ioniq 5 biasa hanya mampu dipandu sehingga 185 km/j).

Hyundai N turut memberikan fungsi N Drift Optimizer pada Ioniq 5 N. Menerusi fungsi ini, pemandu dapat melakukan aksi drift dengan lebih lama, malah turut boleh memulakan drift dengan teknik clutch kick seperti jentera enjin pembakaran dalaman pacuan roda belakang yang diberikan kotak gear manual menerusi fungsi Torque Kick Drift.

Hyundai Ioniq 5 N DK Edition – EV prestasi tinggi dibangun bersama ikon JDM Keiichi Tsuchiya!

Antara perincian menarik yang turut disertakan pada Ioniq 5 N ini termasuk sistem N Active Sound + dan juga N e-Shift, iaitu sistem yang akan memberikan bunyi seakan bunyi enjin sebenar dan rasa tukaran gear seperti kotak gear DCT.

Bagi menghasilkan N Active Sound tersebut, Ioniq 5 N diberikan 10-pembesar suara (lapan dalam kabin dan dua lagi di luar) bagi memberikan tiga tema bunyi berbeza iaitu Ignition, Evolution dan Supersonic. Bagi bunyi Ignition, ia memberikan bunyi seakan enjin petrol 2.0 liter turbo pada model Hyundai N sebelum ini (i30 N, Kona N dan sebagainya), lengkap dengan dengan bunyi pop & bang.

Hyundai menyatakan bahawa Ioniq 5 N DK Edition ini hanya akan dijual di pasaran Jepun dan Korea Selatan. Manakala butiran lain seperti harga dan sebagainya akan diumumkan sebelum pelancarannya tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required