VIDEO: Keiichi Tsuchiya drift Hyundai Ioniq 5 N!

VIDEO: Keiichi Tsuchiya drift Hyundai Ioniq 5 N!

What you think, I’m gonna let you roll in a Hyundai?” Ini dialog yang diucapkan oleh watak dari Korea, Han (dilakonkan oleh Sung Kang) dalam filem Fast & Furious:Tokyo Drift ketika babak menyerahkan sebuah Mitsubishi Lancer Evolution IX kepada Sean Boswell (lakonan Lucas Black).

Ia adalah filem yang muncul pada tahun 2006, dan ketika itu agak sukar untuk mengaitkan Hyundai dalam segmen prestasi, lebih-lebih lagi dunia tuner. Tapi selepas Hyundai berjaya dengan sayap perlumbaan dan prestasinya iaitu Hyundai N, jenama itu tidak lagi boleh dipandang enteng.

Ketika memperkenalkan Hyundai Ioniq 5 N di Australia awal bulan ini, jenama dari Korea berkenaan tidak segan silu untuk menjemput ikon paling besar dalam dunia perlumbaan dan modifikasi JDM, ‘The Drift King’ Keiichi Tsuchiya! Dorikin dijemput untuk memandu SUV EV prestasi tersebut pada 1 dan 2 September di Litar Sydney Motorsport Park, sempena berlangsungnya perlumbaan World Time Attack Challenge (WTAC) 2023.

“Ini merupakan kali pertama saya memandu EV yang boleh drift. Apa yang paling mengejutkan adalah ketangkasannya, yang tak disangka untuk sebuah kereta dengan berat 2,200 kg. Ketika memandunya, saya ingatkan ia hanya 1,800 ke 1,900 kg, Tapi bila saya kembali ke pit, saya terkejut diberitahu bahawa ia seberat 2,200 kg,” kata Tsuchiya selepas memandu Ioniq 5 N tersebut.

Dalam video ini juga dapat dilihat bahawa Tsuchiya turut suka dengan pergerakan belakang yang diberikan pada Hyundai Ioniq 5 N.

“Saya tak meletakkan harapan yang tinggi kerana (di Jepun) tak banyak kereta sport dari Korea setakat ini. Tapi bila saya pandu baru saya sedar ‘oh, diorang sekarang dah buat kereta yang seronok’. Ini yang mengubah pandangan saya terhadap Hyundai Motors,” katanya lagi.

Hyundai Ioniq 5 N ini diasaskan dari crossover EV Ioniq 5 standard, diberikan prestasi dan juga rupa yang lebih agresif. Ia menampilkan badan 50 mm lebih lebar dan ia 20 mm lebih rendah yang terhasil kerana ia memerlukan tayar dan juga diffuser belakang yang lebih lebar untuk prestasi pemanduan yang lebih baik.

VIDEO: Keiichi Tsuchiya drift Hyundai Ioniq 5 N!

Kerangka Ioniq 5 N ini juga telah dipertingkat. Berbanding Ioniq 5 biasa, kerangka Ioniq 5 N ini menerima 42 titik kimpalan yang lebih banyak bersama bahan perekat badan 2.1 meter lebih panjang. Cagak-cagak motor elektrik dan bateri juga dipertkuatkan, manakala subframe belakang dan hadapan juga dipertingkat dengan ketegaran sisi lebih kuat.

Untuk unit rangkaian kuasa, Ioniq 5 N yang masih diasaskan dari platform E-GMP ini menerima dua buah motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang – jadi Ioniq 5 N ini merupakan jentera produksi jalan raya pertama Hyundai N yang menampilkan sistem AWD, memberikan peluang bagi sayap perlumbaan itu memindahkan pengetahuan mereka dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang telah disertai sejak 2014 kepada model produksi yang dijual di bilik pameran.

Kedua-dua motor berkenaan dipadankan pada gandar pacuan berintegrasi (IDA) yang diinspirasikan dari jentera WRC sebenar, bagi memastikan ia tahan asakan dari motor elektrik berkuasa tinggi. Motor yang memacu gandar hadapan menghasilkan kuasa 226 PS, manakala motor pada gandar belakang pula berkuasa 385 PS.

Secara keseluruhan, ia menghasilkan kuasa gabung 609 PS, dan meningkat kepada 650 PS bersama tork maksima 770 Nm apabila mod N Grin Boost (NGB) diaktifkan. Ini membolehkan Ioniq 5 N tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat (3.5 saat jika NGB tidak digunakan), sebelum mencapai kelajuan maksima 260 km/j (Ioniq 5 biasa hanya mampu dipandu sehingga 185 km/j).

Dengan pengetahuan yang dikutip dari Kejohanan Rali Dunia (WRC), Hyundai N turut memberikan fungsi N Drift Optimizer pada Ioniq 5 N. Menerusi fungsi ini, pemandu dapat melakukan aksi drift dengan lebih lama, malah turut boleh memulakan drift dengan teknik clutch kick seperti jentera enjin pembakaran dalaman pacuan roda belakang yang diberikan kotak gear manual menerusi fungsi Torque Kick Drift.

Antara perincian menarik yang turut disertakan pada Ioniq 5 N ini termasuk sistem N Active Sound + dan juga N e-Shift, iaitu sistem yang akan memberikan bunyi seakan bunyi enjin sebenar dan rasa tukaran gear seperti kotak gear DCT.

Bagi menghasilkan N Active Sound tersebut, Ioniq 5 N diberikan 10-pembesar suara (lapan dalam kabin dan dua lagi di luar) bagi memberikan tiga tema bunyi berbeza iaitu Ignition, Evolution dan Supersonic. Bagi bunyi Ignition, ia memberikan bunyi seakan enjin petrol 2.0 liter turbo pada model Hyundai N sebelum ini (i30 N, Kona N dan sebagainya), lengkap dengan dengan bunyi pop & bang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required