Bos Mercedes-AMG akui kehilangan pelanggan setia yang sukakan enjin V8, namun komited untuk 100% EV

Bos Mercedes-AMG akui kehilangan pelanggan setia yang sukakan enjin V8, namun komited untuk 100% EV

Sudah dua tahun Mercedes-AMG C 63 S E Performance muncul dalam pasaran global, dan ia sudah berada di Malaysia sejak Julai lalu, namun model yang lebih berkuasa menghasilkan 680 hp dan tork maksima 1,020 Nm berbanding 503 hp/700 Nm pada generasi sebelumnya ini agak kurang mendapat perhatian.

Puncanya agak mudah untuk dikesan – model generasi baharu ini tidak lagi menggunakan enjin V8 Twin Turbo, sebaliknya ia digantikan dengan enjin 2.0 liter empat-silinder turbo yang dibantu oleh kuasa elektrik menerusi sistem plug-in hybrid. Jadi walaupun kuasa yang dihasilkan lebih besar, karekter asal dengan bunyi dan juga getaran V8 sudah lagi tiada pada C 63 generasi baharu ini – dan perkara ini sebenarnya diakui oleh bos Mercedes-AMG sendiri.

Menurut CEO Mercedes-AMG Michael Schiebe dalam laporan Car, beliau akui bahawa jenama itu telah kehilangan pelanggan setia menerusi langkah tersebut, namun ia adalah halatuju yang betul untuk masa depan. Schiebe turut menyatakan bahawa pelanggan perlu pandu uji dahulu model ini sebelum membuat kesimpulan.

Bos Mercedes-AMG akui kehilangan pelanggan setia yang sukakan enjin V8, namun komited untuk 100% EV

“C 63 merupakan kereta yang penting dalam portfolio kami. Dulu, kini dan selepas ini. Kami ambil keputusan versi sedia ada benar-benar menggunakan teknologi terkini. Kami mahukan sesuatu yang baru dan sebab itu kami letakkan unit rangkaian kuasa F1 pada model yang sah digunakan di atas jalan raya.

“Kami lihat sebahagian pelanggan-pelanggan kami yang sangat setia sukar untuk menerima konsep ini. Sudah tentu, tak dinafikan kami juga kehilangan sebahagian pelanggan yang hanya gemarkan V8,” kata Schiebe dan menambah “Anda perlu benar-benar pandu kereta ini. Ia merupakan produk yang meyakinkan”.

“Kami menggunakan teknologi yang jauh ke hadapan, tetapi kami perlu lebih banyak menerangkan teknologi ini kepada jurujual dan pelanggan. Kami akan terus lakukan dan memperbaikinya. Ada pepatah Jerman menyebut ‘anda tidak akan dapat peluang kedua pada pandangan pertama’. Mungkin kami dah terlepas pandangan pertama, tetapi jika anda ada peluang, saya pasti anda akan yakin dengan teknologi ini,” tambahnya.

Bukan sekadar mempertahankan teknologi PHEV ini, malah Schiebe percaya masa hadapan untuk industri automotif adalah elektrik walaupun ada beberapa pengeluar telahpun mula membangunkan semula enjin pembakaran dalaman, termasuk Mercedes-Benz sendiri. Beliau turut menyatakan bahawa Mercedes-AMG mempunyai perancangan untuk semua unit rangkaian kuasa, dari enjin pembakaran dalaman sehingga EV.

“Ketika kami terus melabur dalam enjin pembakaran dalaman tanpa ada tarikh akhir yang ditetapkan, dalam masa yang sama kami tidak akan memperlahankan pembangunan [elektrifikasi]. Saya sangat positif berkenaan masa hadapan elektrik sepenuhnya untuk AMG. Teknologi baharu ini memberikan kami peluang yang sangat banyak – anda boleh buat banyak benda yang tidak boleh dibuat dengan enjin pembakaran dalaman hari ini,” katanya.

Schiebe turut menyatakan AMG juga tidak berminat dengan bahan api sintetik e-fuels seperti Porsche dan Ferrari. “Kami akan menuju masuk ke elektrik sepenuhnya, ia tak boleh dikalahkan,” tegasnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required