Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjelaskan yang pengecualian cukai bagi EV yang diimport penuh (CBU) ketika ini memerlukan lanjutan sehingga 2030 bagi membolehkan sasaran penggunaan EV 15% daripada jumlah jualan kenderaan keseluruhan menjelang 2030.
“Teknologi dan penggunaan EV kini masih dalam peringkat awal. Ada keperluan untuk kerajaan memupuk dan menyokong pertumbuhan EV, terutamanya melalui insentif. Jadi, kerajaan patut mempertimbangkan lanjutan tempoh pengecualian cukai, terutama untuk EV CBU. Jangkaan kami, untuk mencapai matlamat kerajaan terhadap 15% jualan tahunan EV itu mungkin boleh dicapai pada 2030,” jelas Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain.
“Sasarannya adalah menjelang 2030, jualan EV akan mencapai 15% daripada keseluruhan kenderaan. Untuk itu tempoh pengecualian cukai juga perlu dilanjutkan sama untuk mengekalkan momentum berkenaan. Bagi MAA, kami akan terus berbincang dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk melihat adakan perkara ini boleh dicapai,” tambahnya.
Ketika ini, EV CBU dikecualikan daripada duti import dan eksais sehingga 31 Disember 2025, seperti yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2023. Ia sepatutnya berakhir pada 31 Disember 2023, sebelum dilanjutkan kepada 31 Disember 2024.
Menurut MAA, jualan EV menerima manfaat daripada insentif tersebut serta pengenalan model baru, yang membolehkan angka jualannya melonjak 45% pada 2024. Bagaimanapun, jumlah jualan kenderaan elektrikfikasi — termasuk EV dan hibrid — hanya menyumbang 5.6% daripada jualan keseluruhan tahun lalu, yang merekodkan 816,747 unit. Jualan EV tersebut juga lebih tinggi berbanding 2023, yang mencatatkan 4.8%. EV pemasangan tempatan (CKD) pula ketika ini dikecualikan daripada duti eksais dan cukai jualan hingga 31 Disember 2027, selepas tambahan dua tahun daripada tarikh akhir asalnya, 31 Disember 2025.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.