Setelah lama menghilang, prototaip ujian untuk model Proton X50 facelift dengan perubahan rupa lebih besar kini dilihat mula merayap semula di atas jalan raya awam untuk diuji. Proton sebelum ini dilihat mula menguji model MC (Minor Change) berkenaan pada November 2023, namun pada Jun 2024 hanya model RC (Running Change) dilancarkan, menampilkan rupa yang masih sama seperti versi asal.
Imej unit prototaip terbaharu ini disumbangkan oleh pembaca paultan.org iaitu Chun Yin Chan dan Giinfa, dan ia mungkin unit yang berbeza dilihat muncul lebih setahun yang lalu. Hanya bahagian belakang dapat dilihat menerusi kedua-dua imej, dan ia nampaknya menerima pelekat penyamaran yang lebih menyeluruh.
Satu perubahan yang jelas dapat dilihat adalah spoiler bumbung belakang di mana ia adalah unit yang lebih besar dan agresif berbanding model sedia ada, dan menyerupai spoiler yang dipadankan pada Geely Binyue facelift yang diperkenalkan di China pada 2022. Namun untuk bampar, bayangan disebalik pelekat penyamaran tersebut menunjukkan ia mungkin menggunakan rekaan Geely Binyue L yang diperkenalkan di China tahun lalu.
Jadi ada kemungkinan bahagian muka Proton X50 MC ini juga turut akan menggunakan model lebih terkini Binyue L. Model tersebut menampilkan lampu hadapan yang lebih nipis bersama rekaan bampar yang diberikan gril sepenuhnya memenuhi apron. Unit prototaip ujian ini juga dilihat mengenakan rim dengan corak turbin berdiameter 18-inci yang sama seperti Binyue L 2024.
Sekiranya Proton ‘menyalin’ sepenuhnya Binyue L untuk menghasilkan X50 MC ini, ia mungkin turut akan menggunakan unit rangkaian kuasa yang sama, menampilkan enjin baharu 1.5 liter empat-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus. Enjin ini menjana 180 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 290 Nm bermula 2,000 hingga 3,500 rpm, atau 3 PS/35 Nm lebih berkuasa berbanding enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo pada X50 sedia ada.
Binyue L juga menerima perubahan pada sebelah dalam menampilkan rekaan corong udara penghawa dingin, panel suis kawalan, konsol tengah dan juga tombol gear yang berbeza. Model tersebut juga diberikan sistem Flyme Auto yang telah pun turut diberikan pada model EV Proton eMas 7.
Adakah semua ini akan diberikan pada Proton X50 MC ini nanti? Sama-sama kita tunggu. Memandangkan model RC masih sekitar enam bulan dalam pasaran, jadi kami menjangkakan X50 MC 2025 ini mungkin akan dilancarkan pada lewat tahun ini.
GALERI: Geely Binyue L 2024
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.