Selepas membuat kemunculan sulung global di Indonesia pada Ogos 2023, Mitsubishi XForce kini sudah pun diperkenalkan pula di pasaran Afrika Selatan. Di sana XForce dikenali sebagai Outlander Sport, iaitu nama yang sebelum ini digunakan oleh SUV Mitsubishi ASX pada beberapa pasaran tertentu. Jadi benarlah XForce merupakan model gantian untuk ASX, kecuali untuk pasaran Eropah di mana pada benua berkenaan menerima Mitsubishi ASX generasi baharu yang merupakan model rebadge dari Renault Captur.
Untuk Afrika Selatan, Outlander Sport ini masih diproduksi dan diimport dari kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia yang terletak di Bekasi, Jawa Barat. Ia ditawarkan dalam empat varian bermula dengan 1.5 GL CVT dijual pada harga R429,990 (sekitar RM101k) sehingga varian tertinggi 1.5 Exceed CVT yang berharga R499 990 (RM117k). Kesemua varian ini dijana oleh enjin 4A91 1.5L DOHC MIVEC berkuasa 105 PS dan tork maksima 141 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT yang hanya memacu roda hadapan.
Walaupun hanya pacuan dua roda, Mitsubishi mendakwa bahawa Outlander Sport mempunyai kemampuan pemanduan pada laluan lasak yang baik, dengan menampilkan empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud yang boleh dipilih oleh pemandu bagi disesuaikan dengan situasi pemanduan.
Kesemua mod berkenaan akan dihasilkan menerusi tetapan pada sistem Active Yaw Control (AYC) yang akan melaras agihan kuasa antara roda kiri dan kanan hadapan bagi mencapai pengendalian terbaik, traction control untuk mengawal tahap gelangsar pada roda, kawalan enjin, dan juga kawalan stereng bantuan kuasa elektrik. Walau bagaimanapun, mod ini hanya diberikan pada model varian tertinggi.
Tetapan suspensi juga sama dengan XForce di mana Outlander Sport ini menerima sistem topang McPherson di hadapan dan Torsion Beam di belakang yang di tala untuk jalan raya ASEAN dan didakwa turut sesuai untuk digunakan di Afrika Selatan. Angka-angka kebolehan lain turut dilihat masih sama antaranya jarak kelegaan tanah 222 mm, sudut approach dan sudut departure masing-masing 21 dan 30.5 darjah serta radius pusingan minimum 5.2 meter.
Untuk luaran Outlander Sport ini diberikan perincian seperti lampu hadapan, lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, pelindung-pelindung sekeliling badan, serta rekaan yang diinspirasikan dari rekaan model konsep Mitsubishi XFC yang membuat kemunculan di Vietnam pada 2022.
Manakala dalam kabin, SUV segmen-B ini menerima papan pemuka yang direka dengan elemen mendatar. Mitsubishi menyatakan bahawa rekaan ini memberikan pandangan lebih luas pada cermin hadapan, membolehkan pemandu melihat perubahan postur kenderaan ketika dipandu pada permukaan lasak.
Paparan instrumen digital dengan skrin lapan-inci pula direka seakan bersatu dengan panel pintu menerusi kemasan fabrik melange, menghasilkan rasa yang lebih luas serta memberikan “rasa seperti duduk di ruang tamu”, dakwa Mitsubishi.
Untuk sistem infotainmen, Xforce hadir dengan skrin sesentuh Smartphone-Link Display Audio 12.3-inci yang menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Skrin berkenaan memaparkan tiga bahagian berbeza bagi membolehkan pelbagai fungsi digunakan dalam satu masa.
Skrin ini juga memberikan paparan ‘meter tiga beradik’ yang memberikan informasi termasuk altitud, sudut senget melintang dan menegak, serta kompas, diinspirasikan dari meter yang sama pada papan pemuka SUV legenda Mitsubishi iaitu Pajero.
Model pasaran Afrika Selatan ini juga dilengkapi dengan sistem bunyi premium yang dibekalkan oleh Yamaha, yang menampilkan lapan pembesar suara yang terdiri dari dua tweeter pada tiang-A, woofer pada pintu hadapan, dan dua pembesar suara coaxial dua hala pada pintu belakang.
Untuk keselamatan pula, Mitsubishi Outlander Sport ini datang dengan sistem pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang. Bagi dua varian paling rendah ia hanya diberikan empat beg udara, manakala dua varian lebih tinggi diberikan enam beg udara.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.