Toyota telahpun mendedahkan versi facelift untuk Toyota GR Corolla tahun lalu, dengan Amerika Syarikat menjadi pasaran pertama menerima model tersebut. Dan untuk pengetahuan anda, model tingkat taraf ini baru sahaja diperkenalkan di Jepun – tempahannya mula dibuka hari ini, manakala pelancaran rasminya akan dibuat di sana pada 3 Mac nanti.
Ini bermakna bukan hanya AS yang menerima GR Corolla facelift ini lebih cepat dari Jepun, malah Malaysia juga menerimanya lebih awal dengan pelancaran yang dibuat bulan lalu. Namun bagi pasaran Jepun, GR Corolla facelift terus ditawarkan dengan dua pilihan kotak gear iaitu manual dan automatik, sementara untuk Malaysia model dengan transmisi auto akan tiba di sini lebih lewat.
GR Corolla facelift ini masih lagi menggunakan enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan terus, dengan angka kuasa yang juga tidak berubah iaitu 304 PS pada takat 6,500 rpm. Namun talaan semula yang telah dibuat membolehkan torknya meningkat sebanyak 30 Nm dari 370 Nm kepada 400 Nm, sama seperti jumlah tork yang dihasilkan pada enjin G16E-GTS dalam perut GR Yaris facelift dan Lexus LBX Morizo RR.
Bagi varian dengan transmisi manual enam-kelajuan, ia kini telah dipertingkat dengan roda tenaga jenis dwi-jisim (dual mass flywheel). Sistem rev-match automatik yang memberikan blip pada pendikit ketika gear diturunkan tanpa teknik heel & toe juga masih disertakan pada kotak gear i-MT tersebut.
Manakala bagi pilihan transmisi automatik yang pertama kali diperkenalkan menerusi versi facelift ini, ia didatangkan dengan kotak Gazoo Racing Direct Automatic Transmission lapan-kelajuan (DAT-8AT) yang juga sama seperti pada GR Yaris facelift dan Lexus LBX Morizo RR.
Kotak gear automatik ini bukan sahaja dibina untuk ‘dilanyak’ dengan diberikan material klac kalis-haba, sistem kawalan tork baharu dan solenoid linear respon tinggi, malah ia turut diberikan fungsi launch control dan juga perisian yang membolehkan gear diturunkan sepantas mungkin serta dapat memberikan pilihan gear yang tepat menerusi input dari brek dan pedal pendikit, menghasilkan tukaran gear automatik sehebat teknik dari pemandu profesional.
Sistem pacuan semua roda GR Four yang diinspirasikan dari jentera rali pada GR Corolla ini juga menerima tingkat taraf sama seperti pada GR Yaris. Oleh itu agihan tork antara gandar hadapan dan belakang kini berubah dengan mod Normal adalah 60:40 (60% untuk belakang, 40% untuk hadapan), 50:50 untuk Gravel (sebelum ini 30:70 untuk mod Sport). Manakala untuk mod Track yang sebelum ini ditetapkan pada 50:50 telah diubah dengan memberikan agihan yang sentiasa berubah antara 60:40 hingga 30:70 bergantung pada situasi pemanduan.
Untuk versi facelift ini, Toyota telah menjadikan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang sebagai perincian standard untuk semua varian GR Corolla. Manakala satu perincian unik yang hanya ditawarkan pada model pasaran domestik Jepun (JDM) ini adalah ia dilengkapi dengan satu lagi mod pemanduan tambahan dikenali sebagai Circuit Mode.
Mod ini akan diaktifkan sekiranya GPS mengesan kereta berkenaan berada di kawasan litar lumba. Selepas diaktifkan, mod ini membolehkan sistem anti-lag bina dalam berfungsi seterusnya memberikan respon enjin lebih baik tanpa terjadinya turbo-lag ketika memecut.
Selain itu mod ini juga akan memaksimakan putaran kipas sistem penyejukkan enjin dan juga ‘membuka’ speed-cut 180 km/j yang ditetapkan oleh kerajaan Jepun pada kereta-kereta produksi JDM, membolehkan GR Corolla ini mencapai kelajuan maksima sebenarnya iaitu 230 km/j.
Pemandu juga akan sedar Circuit Mode ini diaktifkan apabila paparan pada skrin instrumen digital 12.3-inci GR Corolla tersebut berubah, memberikan lampu penunjuk tukaran gear serta paparan kedudukan gear yang lebih besar di tengah.
Toyota turut membuat talaan casis semula pada model facelift ini. Penyerap hentak bagi model kemaskini ini diberikan spring rebound bina-dalam yang dapat memberikan postur badan kereta dan juga sifat beban permukaan pada roda dalam yang lebih baik, bagi memberikan kestabilan yang lebih tinggi ketika mengambil selekoh.
Manakala kedudukan cagak trailing arm pada suspensi belakang kini sudah ditinggikan bagi mengurangkan mendap pada bahagian belakang kereta ini yang berlaku setiap kali ia memecut, seterusnya memberikan respon pemanduan lebih baik dan lebih kestabilan ketika membelok.
Karekter spring dan juga bar penstabil untuk suspensi belakang juga telah diubah bagi dioptimakan, seterusnya meningkatkan kekerasan olengan untuk mendapat cengkaman yang lebih baik dari tayar ketika mengambil selekoh.
Untuk sebelah luar, rombakan yang dibuat bukan hanya untuk perubahan rupa semata-mata kerana ia juga membolehkan sistem-sistem penyejukan berfungsi dengan lebih optimum serta memberikan kesan aerodinamik lebih baik. Perubahan ketara yang boleh dilihat adalah pada rekaan bampar hadapan, di mana tiada lagi lampu kabus diletak pada bampar berkenaan bagi memberikan ruang liang udara yang lebih besar.
Ini dibuat semata-mata bagi memberikan aliran udara untuk penyejukan yang lebih baik, terutamanya untuk penyejuk minyak transmisi pada model automatik. Bampar ini juga direka dengan liang yang mangalirkan udara terus untuk menyejukkan sistem brek dan juga tirai udara bagi mengurangkan pergolakan udara dalam ruang roda hadapan, seterusnya meningkatkan kestabilan pengendalian.
Bagi model varian tertinggi, GR Corolla kini diberikan sub-radiator tambahan untuk memberikan penyejukan enjin lebih baik. Tiada perincian lain diubah pada sebelah luar, di mana ia masih tampil dengan badan, kit aero, bumbung gentian karbon yang sama seperti sebelum ini.
Namun ada satu perincian istimewa lagi yang membezakan GR Corolla facelift JDM ini dengan pasaran lain – set rim aloi forged 18-inci BBS yang sebelum ini hanya diberikan pada model edisi terhad hardcore dua tempat duduk ‘Morizo Edition‘ kini dipadankan secara standard untuk semua varian GR Corolla di Jepun.
GR Corolla facelift ini tidak menerima perubahan besar pada bahagian kabin. Perubahan yang boleh dilihat cuma pada perapi-perapi dan suis-suis kawalan berwarna gelap menggantikan kemasan Perak sebelum ini. Walau bagaimanapun, pelanggan di Jepun kini ditawarkan dengan kelengkapan opsyen menerusi pakej Sport – pakej ini juga tidak ditawarkan untuk pembeli di pasaran lain.
Pilihan dengan bayaran tambahan 253,000 yen (RM7,300) tersebut akan menampilkan kelengkapan dan perincian lebih baik termasuk tempat duduk separa-bucket, tali pinggang keledar berwarna merah, serta balutan Ultrasuede pada roda stereng, tombol bersama gaiter gear dan tuil brek tangan.
Toyota GR Corolla facelift ini dijual di Jepun pada harga bermula 5,680,000 yen (RM163,300) untuk model dengan kotak gear manual. Manakala varian dengan kotak gear automatik pula dijual pada harga 300,000 yen (RM8,600) lebih mahal iaitu bermula 5,980,000 yen (RM171,900).
Toyota turut menawarkan beberapa komponen tingkat taraf yang boleh dibeli dan dipasang pada GR Corolla versi terdahulu, disediakan dalam kit peringkat pertama dan peringkat kedua. Bagi kit peringkat pertama, komponen yang ditawarkan adalah set bolt yang diperkuat untuk kolum stereng bagi memberikan rasa stereng serta kestabilan laluan lurus lebih baik, dan juga set bolt diperkuat untuk penyerap hentak belakang bagi memberikan respon cengkaman yang lebih tinggi.
Manakala bagi kit peringkat kedua, ia terdiri dari pelbagai komponen suspensi termasuk lengan bawah dan set ball-joint baharu untuk respon stereng lebih baik, serta penyerap hentak, spring rebound, spring belakang dan juga bar anti-oleng baharu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.