Hot-hatch EV dari Korea Selatan, Hyundai Ioniq 5 N kini dinobat sebagai EV terpantas di Litar Tsukuba, Jepun selepas berjaya mencatatkan masa 57.446 saat hujung minggu lalu. Rekod tersebut dicatatkan ketika berlangsungnya acara tahunan Attack Tsukuba yang menghimpunkan kereta-kereta ‘Time Attack’ seluruh Jepun, malah turut menarik minat penyertaan antarabangsa.
Bagi mencatatkan rekod baharu ini, Hyundai N menggunakan Ioniq 5 N TA Spec, iaitu kereta yang sama mencatatkan rekod di Pikes Peak International Hill Climb (PPIHC), Amerika Syarikat pada Jun tahun lalu. Jentera ini menerima talaan semula pada perisian bagi membolehkan motor belakang menghasilkan 37 PS kuasa tambahan bagi membekalkan kuasa keseluruhan 687 PS, berbanding 650 PS pada model standard.
Ia juga menerima ubahsuai suspensi dengan menerima penyerap hentak dan spring perlumbaan boleh laras, sistem brek gred perlumbaan, tayar slick Yokohama Advan A005 dengan rim 18-inci, rollcage spesifikasi PPIHC dan seperti lazimnya jentera Time Attack yang lain, ia hadir dengan kit aerodinamik agresif dengan spoiler hadapan dan belakang gergasi.
Manakala lain-lain kelengkapan termasuk kedua-dua motor yang memacu roda hadapan dan belakang serta bateri utama masih lagi sama dengan model produksi jalan raya, dakwa Hyundai.
Hyundai Ioniq 5 N TA Spec ini dipandu oleh pemandu lagenda Jepun, Nobuteru Taniguchi yang bukan sahaja digeruni dalam disiplin Time Attack, malah beliau merupakan nama besar di Jepun dalam disiplin drift serta perlumbaan-perlumbaan utama yang lain seperti siri Super GT dan Super Taikyu Endurance.
Malah dengan rekod baharu ini, Taniguchi turut memadamkan rekod EV terpantas di Litar Tsukuba sebelum ini yang turut dicatat oleh beliau sendiri dengan memandu Tesla Model S Plaid, mencatat masa 59.5 saat pada Februari tahun lalu. Buat masa sekarang juga Taniguchi masih memegang rekod lap terpantas di Tsukuba dengan catatan 49.445 saat menggunakan jentera Toyota 86 HKS TRB-03.
“Rekod ini membuktikan teknologi EV termaju dan juga komitmen Hyundai. Rekod terbaharu Ioniq 5 N TA Spec, yang mana masih lagi menggunakan komponen-komponen utama dari kenderaan produksi massa, merupakan kejayaan penting bagi membuktikan kebolehan teknikal Hyundai, dan menerusi acara seperti Attack Tsukuba 2025, EV berprestasi tinggi akan dikenali di dunia. Ia menyerlahkan keiinginan Hyundai N untuk masuk jauh ke dalam budaya kereta,” kata pengarah urusan jenama N Joon Park.
“Kami bangga dengan pencapaian mencatatkan rekod ini di Attack Tsukuba 2025. Ini menunjukkan keazaman yang tinggi Hyundai kearah usaha evolusi teknologi EV dan memberikan prestasi yang luar biasa,” kata presiden dan CEO Hyundai Mobility Japan Co., Ltd. Toshiyuki Shimegi.
“Pencapaian ini membuktikan keupayaan teknikal kami dan memperkuatkan lagi penampilan kami pada pasaran Jepun,” tambahnya lagi.
Dalam acara yang sama, Hyundai turut mendedahkan model edisi khas Hyundai Ioniq 5 N DK Edition, iaitu model keluaran terhad yang dihasilkan bersama seorang lagi pelumba lagenda Jepun, “The Drift King” Keiichi Tsuchiya. Model tersebut menerima talaan dari Tsuchiya sendiri pada bahagian suspensi, brek serta kit aerodinamik, dan hanya akan dijual pada pasaran Jepun dan Korea Selatan.
GALERI: Hyundai Ioniq 5 N DK Edition
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.