Volvo EX90 dilihat di Malaysia sebelum dilancarkan tahun ini – SUV EV tiga-baris tempat duduk, 517 PS

Volvo EX90 dilihat di Malaysia sebelum dilancarkan tahun ini – SUV EV tiga-baris tempat duduk, 517 PS

Awal bulan ini Volvo Cars Malaysia (VCM) ada mengumumkan bahawa ia bakal melancarkan Volvo EX90 pada tahun ini. Nampaknya pelancaran tersebut kini semakin hampir kerana unit awalan SUV EV dengan tiga baris tempat duduk berkenaan telah pun dijumpai oleh pembaca paultan.org, Ismail Mohd di Petaling Jaya hari ini.

Volvo EX90 merupakan penawaran versi EV untuk model dengan enjin pembakaran dalaman Volvo XC90. Ia dihasilkan dengan dimensi 5,037 mm panjang, 1,964 mm lebar, 1,747 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,985 mm, menjadikannya lebih panjang dan lebar berbanding XC90 dengan ukuran 4,950 mm panjang dan 1,923 mm lebar.

Ia didedahkan pada peringkat global pada November 2022, namun produksinya hanya bermula pada pertengahan 2024 – ini mungkin sebab mengapa pengenalannya di Malaysia sepatutnya pada dibuat pada suku ke-empat tahun lalu ditunda ke tahun ini. Ia juga sebenarnya sudahpun dilancarkan di Thailand tahun lalu, ditawarkan dalam tiga varian.

Varian asas di Thailand dikenali sebagai Twin Motor Plus yang menawarkan tujuh-tempat duduk, serta konfigurasi dua motor elektrik bagi memberikan kebolehan pacuan semua roda. Secara keseluruhan kedua-dua motor berkenaan menghasilkan 408 PS (300 kW) dan tork 770 Nm, membolehkan SUV besar ini memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 5.9 saat.

Varian pertengahan pula dikenali sebagai Twin Motor Performance Ultra dalam versi tujuh-tempat duduk, manakala yang paling mahal pula adalah Twin Motor Performance Ultra dengan konfigurasi enam-tempat duduk yang lebih mewah. Kedua-dua varian ‘Performance Ultra’ ini menerima kuasa keserluruhan 517 PS (380 kW) dan 910 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat. Sama seperti model-model Volvo yang lain, kelajuan maksima EX90 hanya dihadkan kepada 180 km/j sahaja.

Kesemua varian tersebut juga dibekalkan dengan bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 111 kWj (107 kWj yang boleh digunakan). Ini membolehkan model asas Twin Motor Plus bergerak sejauh 600 km manakala varian lebih berkuasa Twin Motor Performance Ultra pula bergerak sejauh 590 km – angka-angka ini adalah berdasarkan ujian WLTP.

Manakala untuk mengecas, sistem AC EX90 ini boleh menerima sehingga 11 kW bagi membolehkan bateri dipenuhkan dalam masa 10 jam. Sistem pengecas pantas DC pula membolehkan ia menerima sehingga 250 kW, di mana cas dari 10-80% dapat dipenuhkan dalam masa 30 minit.

Model asas EX90 di Thailand ini diberikan kelengkapan standard seperti rim aloi 20-inci, lampu hadapan LED, bumbung panaromik, paparan instrumen digital dengan skrin 9-inci, skrin infotainmen bersaiz 14.5-inci, sistem bunyi Bose dengan 14-pembesar suara dan juga sistem pendingin hawa empat zon.

Untuk varian Performance Ultra pula ia diberikan tambahan tingkat taraf seperti suspensi udara dengan penyerap hentak adapatif, lampu LED piksel berdefinasi tinggi dan lampu tinggi aktif, fungsi pengurut pada tempat duduk hadapan, dan juga sistem bunyi 3D Bowers & Wilkins dengan 25-pembesar suara.

Masih tiada sebarang petunjuk berkenaan harga EX90 ini untuk pasaran Malaysia. Dan sekali lagi maklumat dari pasaran Thailand boleh dijadikan panduan – di sana varian asas Plus/Twin Motor dijual pada harga bermula 4.29 juta baht (sekitar RM565k), manakala varian Ultra/Twin Motor Performance dijual pada harga bermula 4.89 juta baht (RM644k).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required