Laman web rasmi Honda Jepun hari ini mengumumkan bahawa tempahan untuk Civic Type R FL5 di pasaran tersebut terpaksa dihentikan kerana permintaan yang terlalu tinggi, melebihi dari jangkaan asal. Pemberhentian pengambilan tempahan tersebut bukan hanya untuk model FL5 biasa, malah turut melibatkan model Racing Black Package yang baru didedahkan di Tokyo Auto Salon 2025 bulan lalu.
“Terima kasih kerana berminat dengan kenderaan kami. Civic Type R telah diterima dengan baik oleh pelanggan sejak ia diperkenalkan, kami telah menerima banyak tempahan. Namun bagi memastikan penghantaran Civic Type R kepada pelanggan yang telah menempahnya dapat dibuat, buat masa sekarang kami menghentikan dahulu pengambilan tempahan.
“Kami minta maaf kerana ketidakselesaan kepada pelanggan kami yang berminat. Kami benar-benar minta maaf. Terima kasih kerana memahami,” tulis pengumuman tersebut.
Menurut laporan Kuruma News, ini bukan kali pertama Honda menghentikan sementara pengambilan tempahan bagi Civic Type R. Ia turut terjadi pada Januari tahun lalu, di mana tempahan mula dibuka kembali apabila masa menunggu pelanggan sedia ada semakin kurang.
Portal itu juga menyebut bahawa turut ada pihak yang mengambil kesempatan kerana permintaan yang tinggi ini kerana terdapat banyak Civic Type R yang masih belum digunakan dijual pada pasaran kereta terpakai dengan harga 1 juta yen (RM39k) lebih mahal dari kereta baharu yang dijual di bilik pameran.
Di Jepun Honda Civic Type R FL5 ini dijual pada harga 4,997,300 yen (sekitar RM148k). Ia dijana enjin K20C1 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo yang menghasilkan kuasa 330 PS dengan tork 420 Nm, dan digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, tanpa pilihan kotak gear automatik.
Manakala bagi model Racing Black Package, ia dijual pada harga 5,998,300 yen (sekitar RM172k) dan menampilkan bahagian kabin yang dimonopoli oleh kemasan hitam, berbanding merah pada model biasa.
GALERI: Honda Civic Type R Racing Black Package 2025 di Tokyo Auto Salon 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.