Selepas tempahannya dibuka Januari lalu, Isuzu D-Max 1.9L 4×2 MT Low Ride sekarang secara rasminya dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Disasarkan untuk pemilik perniagaan, model Low Ride ini disediakan sebagai alternatif kepada Single Cab yang sudah dijual sejak D-Max facelift dilancarkan pada Mei 2024.
Melalui model Low Ride ini, anda akan mendapat enjin turbodiesel RZ4E-TC 1.9 liter empat-silinder berkuasa 150 PS dan tork 350 Nm, dipadankan bersama kotak gear enam-kelajuan manual bagi menghantar kuasa sepenuhnya kepada gandar belakang. Model Single Cab juga menggunakan enjin dan transmisi yang sama, tetapi ditambah dengan sistem pacuan empat roda Terrain Command serta pengunci differential belakang.
Selain enjin, model Low Ride ini juga berbeza dengan Single Cab pada dimensi, terutamanya di bahagian belakang. Disebabkan itu, jenis serta saiz barang yang kerap dibawa boleh mempengaruhi pembelian model ini. Menurut Isuzu Malaysia, ruang barangan belakang Low Ride terletak hanya 78 sentimeter dari tanah, memudahkan pengguna memasuk atau menurunkan barang, dan 5% lebih rendah berbanding model biasa.
Ukuran bahagian lain adalah seperti berikut:
Isuzu D-Max 1.9L 4×2 MT Low Ride
- Panjang: 5,285 mm
- Lebar: 1,810 mm
- Tinggi: 1,695 mm
- Jarak roda: 3,125 mm
- Panjang ruang barang belakang: 1,495 mm
- Lebar ruang barang belakang: 1,530 mm
- Tinggi ruang barang belakang: 490 mm
- Jarak kelegaan dari tanah: 195 mm
Isuzu D-Max 1.9L Single Cab
- Panjang: 5,330 mm
- Lebar: 1,810 mm
- Tinggi: 1,770 mm
- Jarak roda: 3,125 mm
- Panjang ruang barang belakang: 2,345 mm
- Lebar ruang barang belakang: 1,590 mm
- Tinggi ruang barang belakang: 465 mm
- Jarak kelegaan dari tanah: 220 mm
Berkenaan harga, Low Ride dijual pada RM92,199 tidak termasuk insurans di Semenanjung Malaysia, RM94,279.60 di Sabah dan RM94,170.30 di Sarawak. Single Cab pula adalah lebih mahal dengan harga permulaan RM100,949.20 di Semenanjung Malaysia dan meningkat lagi apabila dipilih dengan enjin yang lebih besar – harga di Sabah dan Sarawak juga berbeza.
Kedua-dua Low Ride dan Single Cab cuma boleh didapati dalam warna Splash White, tetapi varian paling murah ini menggunakan bampar berwarna hitam (tidak dicat). Low Ride juga datang dengan rim aloi 16 inci dibalut tayar 215/70 berbanding Single Cab yang menggunakan rim besi.
Senarai kelengkapan lain pada Low Ride adalah sama seperti Single Cab, termasuk lampu utama halogen, lampu belakang, lampu kabus dan DRL yang menggunakan mentol, skrin LCD monochrome 3.5 inci, roda stereng urethane, pemain audio single-DIN dengan fungsi Bluetooth, dua pembesar suara, pendingin hawa manual serta tempat duduk balutan fabrik.
Dua beg udara diberikan secara standard pada model ini, bersama ABS, EBD, Brake Assist, ESC, Traction Control, Hill Start Assist, Hill Descent Control, dua pengesan undur, sistem pembatalan brek dan lampu berhenti kecemasan. Turut disediakan adalah cagak ISOFIX untuk tempat duduk belakang, tetapi tiada corong udara untuk penumpang di belakang.
Jaminan yang diberikan untuk kedua model Low Ride dan Single Cab adalah lima tahun atau 150,000 km, dan setiap pembelian datang dengan sokongan bantuan tepi jalan.
GALERI: Isuzu D-Max 1.9L 4×2 MT Low Ride
GALERI: Senarai harga dan risalah jualan Isuzu D-Max 1.9L 4×2 MT Low Ride
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.