Honda bersama rakan kerjasama Dongfeng Honda telah melancarkan kenderaan elektrik (EV) terbaharunya di China, diberi nama sebagai Honda S7. Ia adalah versi produksi dari model konsep Honda Ye S7 yang didedahkan pada April lalu, dan nampaknya tampil dengan rupa yang sama.
SUV ini menampilkan dimensi panjang 4,750 mm, lebar 1,930 mm dan tinggi 1,625 mm, bersama jarak roda sejuh 2,930 mm. Jadi berbanding Tesla Model Y Juniper, Honda S7 ini adalah 47 mm lebih pendek, namun jarak rodanya adalah 40 mm lebih panjang.
S7 menampilkan bahasa rekaan terbaharu daripada Honda yang menampilkan muncung tajam dengan pemadanan lampu hadapan utama berbentuk-Y, bersama jalur lampu nyalaan siang LED yang bersambung pada bahagian ‘gril’. Ia juga tampil dengan loga ‘H’ lebih ringkas tanpa kerangka yang rata dan tenggelam serta berlampu.
Model ini turut diberikan rekaan bumbung rendah dan bersegi seperti HR-V generasi sedia ada, serta menampilkan panel overfender pada setiap ruang roda bagi memberikan imej yang lasak. Honda menawarkan pilihan set rim dari 19-inci dan 21-inci berdasarkan varian yang dipilih.
Manakala di belakang, bentuk asas ‘Y’ pada lampu masih kelihatan, dan kedua-dua lampu dihubungkan menerusi bar lampu merentangi pintu tailgate belakang dengan pencahayaan dari jalur LED. Honda S7 ini juga hadir dengan pembuka pintu yang tenggelam, dan pembeli turut ditawarkan dengan pilihan kamera sisi bagi menggantikan cermin sisi konvensional.
Dua konfigurasi unit rangkaian kuasa ditawarkan pada Honda S70 ini. Yang pertama adalah versi pacuan roda belakang menampilkan motor elektrik tunggal berkuasa 268 hp (200 kW) dan tork maksima 420 Nm. Ia dibekalkan dengan pek bateri NMC berkapasiti 89.8 kWj bagi membolehkan ia bergerak sejauh 650 km untuk satu cas penuh berdasarkan ujian CLTC.
Manakala varian tertinggi diberikan dua motor elektrik dengan kebolehan pacuan semua roda, di mana satu lagi motor elektrik diletak pada gandar hadapan berkuasa 201 hp (150 kW) dan tork maksima 350 Nm. Secara keseluruhan Honda S7 AWD ini dibekalkan dengan kuasa 469 hp (350 kW) dan tork maksima 770 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat.
Walaupun hadir dengan kuasa lebih besar, bateri yang dibekalkan pada varian AWD ini masih sama iaitu 89.8 kWj. Jadi dengan satu cas penuhi hanya boleh bergerak sejauh 620 km dalam kitaran ujian CLTC. Manakala untuk mengecas, kedua-dua varian boleh menggunakan sistem AC di mana bateri boleh dipenuhkan dari 5-100% dalam masa 13.3 jam, dan sistem cas pantas DC membolehkan cas dari 30% mencapai 80% dalam masa 36 minit.
Untuk casis, SUV ini menerima suspensi jenis double wishbone pada sebelah hadapan, dan juga multilink pada sebelah belakang. Manakala untuk varian AWD, ia turut dipadankan dengan penyerap hentak jenis adaptif.
Dalam kabin, S7 menampilkan rekaan berbeza dari model-model Honda sedia ada. Papan pemukanya diberikan skrin gergasi 24-inci dalam posisi menegak pada konsol tengah, manakala pemandu menerima paparan instrumen dengan skrin LCD leper tanpa perumah bersaiz 9.9-inci, dan juga paparan head-up AR 41.9-inci.
Tiada logo ‘H’ diberikan pada roda stereng dan ia digantikan dengan skrip ‘HONDA’. Manakala paparan dari kamera sisi dipancarkan pada skrin yang terletak pada panel pintu. Tiada tombol gear diberikan dan ia diganti dengan suis ‘PNDR’ pada konsol terowong yang dibina ‘terapung’ dengan bahagian storan tambahan diberikan di bawahnya.
Ia turut diberikan tempat duduk hadapan larasan elektrik bersama fungsi memori, pemanas dan pengalir udara serta sistem penghawa dingin dua zon dengan penapis udara PM2.5 dan pewangi bina dalam. Varian pacuan roda belakang diberikan sistem bunyi dengan lapan pembesar suara, sementara varian AWD diberikan sistem bunyi premium dari Bose dengan 16 pembesar suara termasuk yang diletakkan pada perehat kepala.
Ruang kargo Honda S7 ini menawarkan but dengan kapasiti 471 liter, dan ia boleh dibesarkan lagi menerusi tempat duduk belakang yang boleh dilipat dalam nisbah 60:40.
Manakala untuk keselamatan, SUV EV Honda ini diberikan 11-beg udara serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Honda Sensing yang memberikan fungsi seperti cruise control adaptif, brek kecemasan automatik, batuan tukar lorong, pemantau titik buta, pemantau 360 darjah dan pelbagai lagi.
Di China Honda S7 ini dijual pada harga bermula RMB259,900 (RM159k) untuk varian asas pacuan roda belakang sehingga RMB309,900 (RM190k) untuk varian AWD. Menurut laporan CarNewsChina, S7 ini sepatutnya dijual dengan jenama Honda Ye, namun tidak diketahui mengapa ia tidak digunakan untuk versi produksi ini. Malah selepas ini kembar S7 iaitu Honda P7 yang dihasilkan oleh kerjasama GAC-Honda pula akan diperkenalkan, menampilkan rupa muka yang berbeza.
Tidak diketahui sama ada S7 atau P7 ini akan dibawa ke pasaran luar China atau tidak. Sebelum ini model EV Honda e:NS1 yang diperkenalkan di China telahpun dibawa ke pasaran global dikenali sebagai Honda e:N1, dan ia bakal dilancarkan di Malaysia tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.