Selepas hanya gambar ditunjuk bulan lepas, kini perincian selanjutnya untuk dua model elektrik siri e:N oleh Honda yang akan memasuki pasaran paling awal, iaitu e:NS1 dan e:NP1 pula didedah. Bagi e:NS1, yang sebenarnya adalah HR-V generasi ketiga versi elektrik, ia akan dibuat oleh Dongfeng Honda, sementara e:NP1 pula akan dibuat oleh GAC Honda untuk pasaran China.

Menurut Honda, kedua-dua EV ini dibangunkan secara khusus untuk menepati keperluan pelanggan di China. Ia dibina atas platform e:N Architecture F baru, yang dikatakan mewarisi banyak aspek DNA pemanduan dinamik Honda, dan menawarkan pengendalian, ketepatan stereng serta prestasi terbaik dalam kelasnya.

Badannya dijadikan lebih tegar, dan kenderaan ini menggunakan motor prestasi tinggi “tiga dalam satu” yang diletakkan atas gandar hadapan. Menurut Honda, algoritma motor ini membolehkan ia melaras kuasa untuk lebih 20,000 keadaan pemanduan, yang mana bersamaan 40 kali ganda lebih banyak berbanding EV biasa. Ini juga dikata menjadikan motor tersebut lebih responsif untuk apa sahaja keadaan pemanduan.

Ciri aerodinamik model crossover ini telah dioptimakan untuk memberi jarak gerak paling baik, serta prestasi seperti kereta sports. Pek bateri besar dengan kapasiti yang masih belum diberitahu diletakkan di bawah lantai (di tengah, antara dua gandar), dan mampu memberikan jarak gerak sehingga 500 km dengan sekali cas penuh.

Apabila disambung kepada soket pengecas, sistem Heartbeat Interactive Light baru akan mengeluarkan cahaya dengan pelbagai ekspresi, sekaligus menjadikan tahap bateri yang sedang dicas mudah diketahui oleh pengguna dengan sekali imbas sahaja. Kemudahan lain yang disediakan adalah seperti sistem pembatalan bunyi aktif untuk kabin lebih senyap, mod Sports serta Honda EV Sound.

Selain kemewahan, satu lagi ciri yang digemari pelanggan China adalah teknologi. Bagi model e:N, Honda akan memasang skrin sistem infotainmen sebesar 15.2 inci (menegak) dengan sistem e:N OS, perisian baru yang dapat menggabungkan Sensing dan Connect 3.0, serta kokpit digital pintar 10.25 inci.

Ia juga mendapat peningkatan perisian OTA tanpa wayar, yang termasuk pembantu suara AI yang diprogramkan untuk memahami input kasual. Pengguna juga boleh menyambungkan sistem e:N OS kepada peranti pintar di rumah, atau lebih bagus lagi, menghidupkan fungsi dalam kenderaan secara jarak jauh menggunakan aplikasi telefon.

Pada bahagian keselamatan, kenderaan ini akan dipasang dengan Driver Monitoring Camera, yang dapat memerhati corak pemanduan sebenar serta ekspresi muka pemandu secara berterusan. Ia kemudiannya akan membuat saranan yang bersesuaian, seperti masa untuk rehat setelah memandu lama. Perincian selanjutnya untuk e:NS1 dan e:NP1 akan didedahkan apabila pelancarannya semakin hampir nanti.