Mula ditunjukkan sejak September tahun lalu, Chery Omoda 5 facelift kini didedahkan secara rasmi sepenuhnya — ia pertama sekali telah dilancarkan di Rusia, dan dijual di sana melalui jenama Omoda sebagai model C5.
Seperti yang pernah dilihat sebelum ini, perubahan yang dilakukan menjadikan rekaannya kini lebih mirip kepada model Omoda E5 EV. Model petrolnya kini berkongsi rekaan lampu DRL bentuk panah yang tajam, yang disertai oleh palang hitam dengan lencana Omoda.
Di bawahnya, bampar telah diberikan rekaan dan bentuk baru, dengan tambahan bentuk X serta gril baru — grilnya tidak lagi menempatkan perincian krom dan menggantikannya dengan kemasan warna badan, sama seperti model C9 yang lebih besar. Bahagian dalaman bagi lampu utama dwi-projektornya juga kini serba hitam.
Rim 18-inci yang digunakan juga diberi nafas baru, serta kemasan merah di bahagian bampar, cermin sisi, rocker panel, lampu belakang dan rim sebelum ini telah digugurkan dan digantikan dengan penyudah dalam warna hitam. Selebihnya, model facelift ini sama sahaja seperti versi sebelumnya.
Ini bermakna ia masih didatangkan dengan lampu belakang berkelebaran penuh dengan lampu menegak, serta dua muncung ekzos hiasan. Bahkan di ruang dalaman juga semuanya dikekalkan — melibatkan rekaan corong pendingin, panel paparan skrin lebar dengan skrin 10.25-inci berkembar, kawalan pendingin melalui sentuhan, tombol pemilih gear dan kerusi ala bucket dengan perehat kepala bersepadu.
Pilihan enjin juga masih sama — dengan unit 1.5 liter turbocas empat-silinder petrol yang menjana sebanyak 147 PS/230 Nm yang digandingkan bersama CVT, serta unit enjin sama seperti Tiggo 7 Pro, 1.6 liter janaan 197 PS/290 Nm dengan transmisi klac-berkembar tujuh-kelajuan — sebagai varian GT, yang tidak dijual di Malaysia.
Dengan usia Omoda 5 di sini yang sudah menghampiri dua tahun, boleh dijangkakan versi facelift ini akan tiba di sini dalam tempoh beberapa bulan lagi, menyertai Tiggo 4 Pro/Tiggo Cross yang juga sudah dilihat diuji di Malaysia. Namun, sama ada model yang dikemaskini ini akan dibawah di bawah payung Omoda & Jaecoo seperti yang sudah dilakukan di pasaran lain masih menjadi pertanyaan. Omoda C9 di Malaysia ketika ini dijual di bawah Jaecoo Malaysia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.