April tahun lalu, Chery Malaysia mengesahkan bahawa Chery Tiggo 4 Pro atau Tiggo Cross bakal memasuki pasaran tempatan pada separuh pertama tahun ini. Kini, tiga unit model berkenaan telah dilihat sedang diuji di lebuhraya Malaysia, menggunakan trade plate dan pelekat samaran pelbagai corak.
Walaupun begitu, DRL menegaknya serta lampu belakang dengan kelebaran penuh boleh dilihat dengan jelas, begitu juga dengan rekaan lampu depan dan gril besar di depan. Ketiga-tiga unit berkenaan menggunakan rim yang berbeza.
Unit dengan rim asas kelihatan seperti mengenakan ekzos yang lebih kecil. Untuk pasaran Malaysia, adakah kita akan menerima varian yang sama seperti di Indonesia, iaitu 116 PS/138 Nm 1.5 NA + CVT dan unit 1.5 turbo 147 PS/210 Nm + DCT enam-kelajuan (seperti di Afrika Selatan)?
Jika betul, pasaran tempatan akan menerima satu lagi pesaing dengan julat harga kompetitif kepada Perodua Ativa dan juga varian 1.5 turbo untuk mengatasi spesifikasi WR-V. Pendekatan ini juga pernah digunakan oleh Chery untuk model Omoda 5 yang berdepan dengan Proton X50.
Semua ini akan disahkan ketika model berkenaan dilancarkan kelak, yang pastinya menjadi model yang diposisikan di bawah Omoda 5 dari segi harga dan saiz, dan menjadi model peringkat kemasukan terbaru untuk Chery — dengan harga lima digit sebagai permulaan?
Di Indonesia, Chery Tiggo 4 Pro/Chery Tiggo Cross dijual dengan harga dari 239.5-269.5 juta Rupiah (RM65k-73k), manakala di Afrika Selatan ZAR400k-450k (RM96k-108k). Di sini, Ativa dijual dengan harga antara RM63k-73k sementara WR-V antara RM90k-108k.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.