Honda Koraidon bakal diperkenal 7 Mac ini – motosikal konsep Pokemon dengan teknologi imbang sendiri

Dalam masa beberapa hari lagi, Honda akan memperkenalkan sebuah motosikal konsep yang dibuat dengan kerjasama The Pokemon Company, melibatkan salah satu karekter dalam permainan Pokemon Scarlet, iaitu Koraidon.

Menurut Honda, motosikal konsep ini akan dibuat mengikut saiz sebenar Koraidon dan boleh berubah bentuk dengan antaranya menyerupai sebuah motosikal yang boleh ditunggang dan juga berdiri di atas kaki sendiri. Walaubagaimanapun, apabila dipamerkan di Honda Welcome Plaza Aoyama bermula 7 Mac ini, ia hanya akan terletak statik.

Melalui projek ini, Honda akan menerapkan teknologi motosikal imbang sendiri mereka yang pernah ditunjukkan melalui beberapa model konsep, dan memastikan Honda Koraidon ini boleh bergerak dan ditunggang. Menjadikannya lebih dinamik, beberapa anggota Koraidon itu sendiri akan dibuat boleh bergerak, seperti kepala dan tangannya.