Honda CBR150R, yang sudah berada dalam pasaran negara kita sejak tahun 2021 kini sekali lagi diberi pembaharuan warna dengan pilihan yang disediakan pada tahun 2025 ini terdiri daripada Tricolor dan Silver. Harga nampaknya sudah naik RM100 berbanding tahun 2023, menjadi RM13,399 tidak termasuk insurans.
CBR150R adalah sebuah model sports permulaan yang datang dengan fairing penuh dan masuk ke dalam pasaran sebagai pesaing utama kepada Yamaha R15. Kesemua lampunya adalah unit LED, dan ia menawarkan posisi tunggangan yang agresif bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan motosikal sports.
Menggerakkannya adalah enjin satu silinder DOHC 149.2 cc dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac assist and slipper, untuk menghasilkan kuasa 16 hp pada 9,000 rpm dan 13.7 Nm tork pada 7,000 rpm.
Pada bahagian meter, ia dilengkapi dengan unit digital yang lengkap dengan pelbagai informasi termasuk kedudukan gear dan tahap rpm. Tangki bahan api berkapasiti 12 liter sementara berat keseluruhan motosikal adalah 137 kg.
Suspensi model ini juga dipadankan dengan ciri sporty, menggunakan unit fork USD berwarna emas di hadapan (tanpa sebarang pelarasan) dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Kedua-dua bahagian depan dan belakang menggunakan brek cakera, siap dengan ABS two-channel dan rim pula bersaiz 17 inci dengan dibalut tayar 100/80 di hadapan dan 130/70 di belakang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.