Selepas melancarkan model J7 PHEV sebulan yang lalu, Jaecoo nampaknya kini bersedia untuk melancarkan satu lagi SUV baharu ke pasaran tempatan tahun ini iaitu SUV flagship jenama tersebut, Jaecoo J8. Model ini pernah dipertontonkan bersama J7 tahun lalu, dan bermula 27 hingga 30 Mac ini, SUV dengan tiga baris tempat duduk tersebut akan didedahkan kepada orang ramai menerusi acara jelajah di pusat membeli-belah 1 Utama.
Jaecoo J8 ini berukuran 4,820 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,699 mm tinggi dan jarak antara roda sejauh 2,820 mm. Jadi model ini adalah 100 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar serta jarak roda 110 mm lebih jauh berbanding SUV segmen-D Chery Tiggo 8 Pro.
Jika J7 dilihat banyak dipengaruhi rekaan dari Range Rover, J8 ini pula direka seakan SUV bersaiz besar dari Amerika Syarikat seperti Lincoln Aviator, khususnya pada bahagian fender hadapan, tiang-D dan juga lampu belakang. Manakala pada bahagian dalaman, rekaan kabin J8 ini mengambil inspirasi dari model-model Mercedes-Benz.
Ia boleh dilihat menerusi rekaan pada papan pemuka dengan skrin paparan instrumen dan infotainmen yang bercantum (masing-masing bersaiz 12.3-inci), konsol tengah yang lebar tanpa tombol gear konvensional dan diganti dengan tuil penukar gear pada kolum stereng, corak pada upholsteri tempat duduk serta kemasan-kemasan perak dan kayu, butang penghidup enjin serta banyak lagi.
Menerusi unit dalam versi pemanduan sebelah kanan yang dipertonton di kilang Chery di Shah Alam pertengahan tahun lalu, J8 ini turut tampil dalam varian enam-tempat duduk di mana pada baris kedua diberikan sepasang duduk kapten, sementara tempat duduk penumpang hadapan menerima ottoman kawalan elektrik.
Antara perincian lain yang turut dapat dilihat termasuk lampu hadapan dan belakang LED penuh, rim aloi 20-inci, sistem penghawa dingin empat zon, tempat duduk baris pertama dan kedua dengan pemanas dan liang aliran udara, bumbung kaca panaromik, ruang storan pada perehat tangan dengan penyejuk, kamera 360 darjah dan sistem bunyi Sony dengan 14-pembesar suara.
Untuk menggerakkan SUV besar ini pula, ia dilengkapi dengan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder disuap pengecas turbo bagi menghasilkan kuasa 249 PS dan tork maksima 385 Nm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, bersama pilihan pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda.
Sekiranya dilihat dari trend pemasaran Jaecoo sebelum ini, satu-satu model baharu itu akan dilancarkan beberapa bulan selepas ia dipertonton kepada orang awam – jadi boleh diagak bila model ini akan mula dijual. Jaecoo Malaysia juga ada menyatakan bahawa model ini akan dijual pada harga anggaran sekitar RM200,000.
Jadi sekiranya anda ada rancangan untuk membeli sebuah kenderaan keluarga dengan saiz dan harga dalam julat sedemikian, jangan lupa untuk datang ke 1 Utama bagi melihat sendiri Jaecoo J8 ini depan mata.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.