BYD Shark 6 dibuka tempahan di Thailand — anggaran RM221k; pikap PHEV; 436 PS/650 Nm, 100 km jarak EV

BYD Shark 6 dibuka tempahan di Thailand — anggaran RM221k; pikap PHEV; 436 PS/650 Nm, 100 km jarak EV

BYD Shark 6 telah membuat penampilan sulungnya di Bangkok Motor Show 2025 dan kini dibuka untuk tempahan di sana. Menurut pengedar tempatannya, Rever Automotive, tempahan hanya terhad kepada 500 unit dan serahan pertama bagi trak pikap plug-in hybrid itu akan dilakukan pada 30 September 2025.

Dengan harga anggaran 1,699,900 baht (sekitar RM221k), Shark 6 adalah sedikit lebih mahal berbanding model popular lain dalam segmen sama seperti Toyota Hilux, Isuzu D-Max dan Ford Ranger. Bagaimanapun, saiznya juga lebih besar dengan 5,457 mm panjang, 1,917 mm lebar, 1,925 mm tinggi dengan jarak roda 3,260 mm.

Saiz Ranger pula paling hampir, dengan 5,370 mm panjang dan 1,918 mm lebar. Dengan ketinggian 1,884 mm ia lebih rendah daripada Shark 6, tetapi Ranger mempunyai jarak roda yang lebih panjang dengan 3,270 mm. Trak pikap yang lebih besar daripada semua model ini ialah GWM Poer Sahar, hadir dengan dimensi 5,445 mm panjang, 1,991 mm lebar, 1,924 mm tinggi dengan jarak roda 3,350 mm.

BYD Shark 6 dibuka tempahan di Thailand — anggaran RM221k; pikap PHEV; 436 PS/650 Nm, 100 km jarak EV

Sistem PHEV yang dikenali sebagai Dual Mode Off-road (DMO) Super Hybrid adalah sama dengan yang digunakan oleh Bao Leopard 5. Ia menampilkan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder sebaris yang menjana sebanyak 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 260 Nm tork. Fungsi utamanya adalah sebagai generator bagi bateri BYD Blade lithium iron phosphate (LFP) 29.58-kWh yang menyokong pengecasan AC hingga 7 kW.

Untuk pengecasan pantas DC pula ia boleh mencapai 55 kW, dan mengecas 30%-80% SoC dalam masa 25 minit. Fungsi vehicle-to-load (V2L) boleh menyediakan kuasa hingga 6 kW.

Bateri berkenaan menyalurkan kuasa kepada dua motor elektrik. Motor bahagian depan menjana sebanyak 231 PS (228 hp atau 170 kW) dan 310 Nm. Unit di belakang pula menyediakan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 340 Nm, menjadikan output keseluruhannya 436 PS (430 hp atau 321 kW) dan 650 Nm. Ini angka yang lebih besar berbanding yang dijana oleh Ford Ranger Raptor V6, dan membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat.

Walapun pacuan utama digerakkan oleh motor elektrik, enjin Shark 6 boleh memacu secara langsung pada kelajuan atas 70 km/j. Pemandu boleh memilih bagaimana sistem hibrid menguruskan tenaganya serta mod pemanduan off-road yang diinginkan. Laporan media Thailand menyebut yang model ini mampu memberikan jarak elektrik sepenuhnya sejauh 100 km NEDC. Dengan kapasiti tangki minyak 60 liter dan dengan mod hibrid, jarak maksimum yang boleh dicapai mencecah 840 km.

Bagi kelengkapan, varian tunggal yang ditawarkan datang dengan lampu LED, rim aloi 18-inci, kluster instrumen digital 10.25-inci, skrin sentuh infotainmen 15.6-inci boleh pusing, kerusi depan larasan kuasa, pendingin dua-zon, sistem keselamatan pasif (ESC, kawalan cengkaman, ABS), tujuh beg udara dan ADAS lengkap (AEB, kawalan melayar adaptif, pengekalan lorong, peninjau titik buta, kamera 360-darjah).

BYD Shark 6 diimport sepenuhnya (CBU) dari China dan ditawarkan dalam tiga warna — Great White, Tidal Black dan Deep Sea Blue. Ia hadir dengan jaminan enam-tahun/150,000 km untuk kenderaan, sementara untuk baterinya dilindungi selama lapan-tahun/160,000 km.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required