Awal tahun ini Great Wall Motor (GWM) telah memperkenalkan trak pikap hibrid Poer Sahar HEV semasa Bangkok International Motor Show 2024, dan sekarang muncul pula versi lebih lasak bagi trak tersebut yang dipanggil sebagai Poer Sahar Off-Road Edition. Ia dibawa untuk pameran di Chengdu Motor Show 2024.
Versi yang disasarkan untuk penggunaan lebih lasak ini datang dalam dua pilihan enjin, iaitu diesel turbo 2.4 liter berkuasa 135 kW (184 PS) dan tork 480 Nm, dan V6 petrol 3.0 liter turbo. Sebagai perbandingan, enjin petrol turbo pada versi HEV mampu menghasilkan kuasa 244 PS/380 Nm, dan kuasa keseluruhan 351 PS/615 Nm.
Sistem penggerak trak ini terdiri daripada transmisi automatik sembilan kelajuan GWM sendiri, serta differential kunci mekanikal BorgWarner di hadapan, tengah dan belakang. Dalam keadaan standard ia datang dengan rim 18 inci dan tayar Cooper Discoverer AT3 bersaiz 265/65R18.
Dengan panjang keseluruhan lebih 5.4 meter dan lebar ruang dalam 1.6 meter, Poer Sahar diangkat oleh pengeluarnya sebagai trak pikap double cab paling besar, lebar dan selesa dalam kelasnya, sambil mempunyai tempat duduk belakang yang boleh disandarkan sehingga 33 darjah.
Untuk versi Off-Road Edition ini, tempat duduk tersebut dinaik taraf dengan sistem pelarasan elektrik, sementara pintu ruang barangan belakang menggunakan jenis yang dibuka secara biasa dan bukannya ke tepi seperti Poer Sahar HEV. Turut diberi pada versi Off-Road Edition ini adalah penutup ruang barangan belakang, bar besi di hadapan dan belakang, serta corong udara tinggi (snorkel).
Berkenaan sistem bantuan pemandu, Poer Sahar Off-Road Edition dilengkapi sistem ADAS Level 2, yang termasuk Adaptive Cruise Control dan Intelligent Cruise Control. Di China, Poer Sahar Off-Road Edition dijual pada harga bermula 178,800 yuan (RM109,765) untuk Advanced, 188,800 yuan (RM115,895) untuk High-End dan 249,800 yuan (RM153,340) untuk Traverse.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.