Bangkok 2025: Isuzu D-Max dan MU-X terima enjin 2.2L Ddi MaxForce 163 PS/400 Nm, kotak gear 8AT baru

Bangkok 2025: Isuzu D-Max dan MU-X terima enjin 2.2L Ddi MaxForce 163 PS/400 Nm, kotak gear 8AT baru

November lalu trak pikap Isuzu D-Max dan kembarnya SUV ladder frame Isuzu MU-X telah diperkenalkan dalam versi tingkat taraf terbaharu, melibatkan pengenalan enjin dan kotak gear baharu. Seperti biasa, kemunculan sulung global versi baharu tersebut dibuat di Thailand, dan kami telah temui kedua-duanya dipamerkan di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2025 yang sedang berlangsungnya bermula minggu ini.

Tiada sebarang penyegaran rupa luaran dan dalaman untuk kedua-dua model yang ditingkat taraf ini di mana D-Max masih tampil dengan rupa dari versi facelift 2023 tetapi ditambah dengan pilihan warna badan baharu Elbrus Grey Opaque, manakala MU-X pula masih mengenakan penggayaan dari versi facelift yang diperkenalkan pada Jun tahun lalu.

Namun kedua-duanya menerima varian dengan enjin 2.2 liter Ddi MaxForce baharu sebagai tambahan dari pilihan enjin 1.9 liter Ddi BluePower RZ4E dan juga enjin 3.0 liter empat-silinder turbodiesel 4JJ3-TCX.

Bangkok 2025: Isuzu D-Max dan MU-X terima enjin 2.2L Ddi MaxForce 163 PS/400 Nm, kotak gear 8AT baru

Enjin MaxForce DDi 2.2 liter ini sebenarnya merupakan varian dari enjin turbodiesel 1.9 liter DDi BluePower dan ia dikenali dengan kod enjin RZ4F-TC. Namun ia bukan sekadar meningkatkan kapasitinya dari 1,898 cc to 2,164 cc menerusi pemadanan liner silinder, omboh (83mmx100 mm), rod penghubung dan aci engkol baharu, malah turut menerima kepala silinder baharu.

Omboh baharu berkenaan bukan sahaja lebih besar, malah ia turut disalut dengan bahan yang menjadikan daya geserannya jauh lebih rendah serta direka bagi menghasilkan pusaran lebih tinggi untuk melaras aliran udara yang masuk ke kebuk pembakaran, seterusnya memberikan pembakaran yang lebih berkesan.

Selain itu, enjin 2.2L ini juga menerima penyuntik bahan api dengan tekanan lebih tinggi iaitu 250 MPa berbanding 180 MPa pada versi 1.9L. Pengecas turbo dengan geometri bervariasi (E-VGS) juga dikemaskini menampilkan aliran masuk dan bilah turbin lebih besar, bersama injap wastegate yang dikawal oleh kotak komputer enjin berbanding enjin 1.9L yang masih menggunakan tekanan spring konvensional.

Akhir sekali enjin baharu ini turut diperkemas dengan sistem pelinciran lebih baik yang bukan sahaja meningkatkan pretasi, malah turut memberikan ketahanan lebih tinggi. Hasilnya enjin RZ4F-TC ini dapat bernafas dengan 163 PS pada takat 3,600 rpm dan mencapai tork maksima 400 Nm bermula 1,600 rpm hingga 2,600 rpm.

Jadi ia bukan sahaja menghasilkan kuasa 13 PS/50 Nm lebih besar berbanding versi 1.9L (150 PS/350 Nm), malah tork maksimanya juga dapat dicapai 200 rpm lebih awal, dan Isuzu mendakwa bahawa penggunaan bahan apinya juga adalah 10% lebih baik. Enjin ini juga menerima penarafan Euro 5 serta boleh beroperasi menggunakan bahan bakar Biodiesel B20 di Thailand.

Varian-varian yang dilengkapi enjin baharu ini juga ditawarkan dengan kotak gear 8AT lapan-kelajuan baharu, manakala pilihan enjin 1.9L dan 3.0L masih diberikan kotak gear 6AT sedia ada. Selain dari menawarkan nisbah gear yang lebih banyak, kotak gear baharu ini juga diberikan fungsi REV Tronic dalam mod pacuan roda belakang. Pilihan kotak gear manual enam-kelajuan juga masih diberikan untuk enjin baharu ini.

Untuk MU-X, ini mungkin kali pertama anda melihat rupa facelift terkini SUV tersebut kan? Ini kerana Isuzu Malaysia sudah lama tidak menawarkan MU-X di pasaran tempatan. Versi facelift terkini ini menampilkan rekaan muka yang lebih agresif dari sebelum ini, menampilkan lampu nyalaan siang LED pada bahagian ‘kening’ lampu utama, gril lebih besar dan bampar hadapan yang direka seakan menonjolkan huruf-X.

Manakala di belakang, kluster lampu utama masih nampak sama tetapi grafik LED di dalamnya diberikan rekaan baharu berbentuk seakan anak panah. Bampar belakang diolah semula menerusi penambahan panel bawah berbentuk seperti diffuser.

Pada bahagian dalaman SUV tujuh-tempat duduk ini pula kini menampilkan panel-panel sentuhan lembut dan perapi-perapi baharu. Konsol tengah turut direka semula bagi menempatkan skrin sesentuh untuk sistem infotainmen lebih besar bersaiz sembilan-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Manakala pemandu kini turut menerima paparan instrumen digital dengan skrin tujuh-inci.

Isuzu MU-X terkini ini juga diberikan kamera 360-darjah dengan fungsi paparan telus cahaya, serta diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang merangkumi fungsi bantuan kekal tengah lorong dan cruise control adapatif bagi memberikan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2, serta sistem pemantau titik buta dengan pengelak pelanggaran.

Kita di Malaysia dijangka terus tidak akan menerima MU-X, namun untuk trak pikap D-Max, versi dengan pilihan enjin terbaharu ini mungkin akan tiba di sini pada tahun ini juga.

GALERI: Isuzu D-Max Hi-Lander 2.2 Ddi MaxForce M A/T di BIMS 2025

GALERI: Isuzu MU-X 4×2 2.2 Ddi MaxForce Ultimate A/T di BIMS 2025

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required