Seperti yang diumumkan tempoh hari, Isuzu kini secara rasmi telah mendedahkan enjin turbodiesel baharunya untuk digunakan pada trak pikap D-Max dan SUV ladder frame MU-X yang digelar sebagai MaxForce DDi 2.2L. Enjin ini membuat kemunculan sulung globalnya menerusi model kemasikini D-Max dan MU-X 2024 pasaran Thailand.
Enjin MaxForce DDi 2.2 liter ini merupakan varian dari enjin turbodiesel 1.9 liter DDi BluePower RZ4E sedia ada, dan ia dikenali dengan kod enjin RZ4F-TC. Menurut laporan Headlightmag, selain dari meningkatkan kapasitinya dari 1,898 cc to 2,164 cc menerusi pemadanan liner silinder, omboh (83mmx100 mm), rod penghubung dan aci engkol baharu, enjin MaxForce DDi 2.2L ini turut menerima kepala silinder baharu.
Omboh baharu berkenaan bukan sahaja lebih besar, malah ia turut disalut dengan bahan yang menjadikan daya geserannya jauh lebih rendah serta direka bagi menghasilkan pusaran lebih tinggi untuk melaras aliran udara yang masuk ke kebuk pembakaran, seterusnya memberikan pembakaran yang lebih berkesan.
Selain itu, enjin 2.2L ini juga menerima penyuntik bahan api dengan tekanan lebih tinggi iaitu 250 MPa berbanding 180 MPa pada versi 1.9L. Pengecas turbo dengan geometri bervariasi (E-VGS) juga dikemaskini menampilkan aliran masuk dan bilah turbin lebih besar, bersama injap wastegate yang dikawal oleh kotak komputer enjin berbanding enjin 1.9L yang masih menggunakan tekanan spring konvensional.
Akhir sekali enjin baharu ini turut diperkemas dengan sistem pelinciran lebih baik yang bukan sahaja meningkatkan pretasi, malah turut memberikan ketahanan lebih tinggi. Hasilnya enjin RZ4F-TC ini dapat bernafas dengan 163 PS pada takat 3,600 rpm dan mencapai tork maksima 400 Nm bermula 1,600 rpm hingga 2,600 rpm.
Jadi ia bukan sahaja menghasilkan kuasa 13 PS/50 Nm lebih besar berbanding versi 1.9L (150 PS/350 Nm), malah tork maksimanya juga dapat dicapai 200 rpm lebih awal, dan Isuzu mendakwa bahawa penggunaan bahan apinya juga adalah 10% lebih baik. Enjin ini juga menerima penarafan Euro 5 serta boleh beroperasi menggunakan bahan bakar Biodiesel B20 di Thailand.
Walau bagaimanapun enjin MaxForce DDi 2.2L ini bukanlah direka untuk menggantikan enjin turbodiesel 3.0L sedia ada. Enjin 4JJ3-TCX berkuasa 190 PS pada takat 3,600 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 1,600 rpm hingga 2,600 rpm tersebut masih disediakan untuk varian tertinggi MU-X 2024 dan ia merupakan masih merupakan satu-satunya pilihan enjin untuk D-Max V-Cross di Thailand.
Namun hanya enjin baharu ini sahaja yang dipadankan dengan kotak gear 8AT lapan-kelajuan baharu, manakala pilihan enjin 1.9L dan 3.0L masih diberikan kotak gear 6AT sedia ada. Selain dari menawarkan nisbah gear yang lebih banyak, kotak gear baharu ini juga diberikan fungsi REV Tronic dalam mod pacuan roda belakang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.