Jaecoo J8 didedah di Malaysia sekali lagi – 2.0L Turbo, 8AT, 5- & 6-tempat duduk, anggaran bermula RM195k

Jaecoo J8 didedah di Malaysia sekali lagi – 2.0L Turbo, 8AT, 5- & 6-tempat duduk, anggaran bermula RM195k

Setelah beberapa kali ditunjukkan di Malaysia, hari ini Jeacoo Malaysia sekali lagi mendedahkan SUV dengan pilihan tiga-baris tempat duduk Jaecoo J8. Cuma kali ini unit yang didedahkan adalah unit sah untuk pasaran Malaysia, dipamerkan di tempat awam iaitu di pusat membeli belah 1 Utama.

Jaecoo Malaysia mengesahkan bahawa J8 bakal ditawarkan dalam dua varian, bermula dengan varian 2WD lima tempat duduk dijual pada harga anggaran RM195,000, diikuti varian tertinggi AWD enam-tempat duduk dengan harga anggaran RM220,000.

Kedua-dua varian ini akan digerakkan dengan unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin 2.0 liter empat-silinder turbo menghasilkan 249 PS dan tork maksima 385 Nm. Model pasaran Malaysia ini nampaknya menggunakan kotak gear automatik konvesional lapan-kelajuan (bukan DCT tujuh-kelajuan seperti yang disebut sebelum ini), bersama pilihan pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda bergantung pada varian.

Jaecoo J8 didedah di Malaysia sekali lagi – 2.0L Turbo, 8AT, 5- & 6-tempat duduk, anggaran bermula RM195k

Padanan ini membolehkan varian AWD SUV besar ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 200 km/j. Atas kertas, J8 AWD ini didakwa mampu mencapai penggunaan bahan api pada tahap 8.1 liter/100 km.

J8 merupakan SUV flagship yang lebih besar dari kebanyakkan SUV segmen-D. Ia dihasilkan dengan ukuran 4,820 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,699 mm tinggi dan jarak antara roda sejauh 2,820 mm. Jadi model ini adalah 100 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar serta jarak roda 110 mm lebih jauh berbanding SUV segmen-D Chery Tiggo 8 Pro.

Dari segi rupa luaran J8 ini pula direka seakan SUV bersaiz besar dari Amerika Syarikat seperti Lincoln Aviator, khususnya pada bahagian fender hadapan, tiang-D dan juga lampu belakang. Ia agak berbeza dengan model-model Jaecoo lain seperti J8 yang banyak menerima inspirasi dari model-model Range Rover.

Jaecoo J8 didedah di Malaysia sekali lagi – 2.0L Turbo, 8AT, 5- & 6-tempat duduk, anggaran bermula RM195k

Manakala pada bahagian dalaman, rekaan kabin J8 adalah seperti rekaan SUV-SUV dari Chery, di mana ia mengambil inspirasi yang banyak dari model-model Mercedes-Benz. Ia boleh dilihat menerusi rekaan konsol tengah yang lebar tanpa tombol gear konvensional dan diganti dengan tuil penukar gear pada kolum stereng, corak pada upholsteri tempat duduk serta kemasan-kemasan perak dan kayu, butang penghidup enjin, suis parasange tempat duduk, serta banyak lagi.

Juga nampak seperti Mercedes-Benz adalah papan pemuka dengan skrin paparan instrumen dan infotainmen yang bercantum di mana masing-masing bersaiz 12.3-inci, yang turut menampilkan kamera panaromik 540-darjah – kesemua perincian ini adalah standard untuk kedua-dua varian J8 pasaran Malaysia.

Selain dari perbezaan sistem penghantaran dan juga konfigurasi tempat duduk, Jaecoo telah mendedahkan beberapa perbezaan spesifikasi antara kedua-dua varian J8 pasaran Malaysia ini. Bagi varian 2WD, ia diberikan sistem audio Sony dengan 12 pembesar suara, enam-beg udara, lampu suasana kabin dan dan upholsteri kulit buatan. Dengan ketiadaan tempat duduk baris ketiga, varian ini menyediakan ruang but berkapasiti 738 liter.

Manakala J8 AWD pula diberikan kelengkapa lebih baik seperti sistem audio Sony dengan 14-pembesar suara di mana dua lagi diletakkan dalam perehat kepala tempat duduk hadapan, 10-beg udara, pintu berkuasa, sistem pewangi automatik, sistem kunci pintar menggunakan NFC, dashcam bina-dalam, tempat duduk hadapan larasan elektrik, tempat duduk kapten baris kedua dengan fungsi pengurut, tirai cermin tungkap belakang, upholsteri kulit sebenar serta kemasan-kemasan sued.

Dengan tempat duduk baris ketiga dinaikkan, ruang but varian ini hanya menyediakan ruang berkapasiti 200 liter. Selain itu varian paling mewah ini juga diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2.5, sistem parkir automatik, suspensi yang diberikan penyerap hentak adaptif menerusi sistem Continuous Damping Control (CDC), serta boleh mengharungi laluan air dengan kedalaman 450 mm.

Untuk warna badan pula, varian 2WD ditawarkan dengan tiga pilihan iaitu Carbon Crystal Black, Khaki White dan Olive Grey. Kesemua pilihan warna ini turut diberikan pada varian AWD, tetapi dengan tema dua tona di mana bumbungnya diberikan dalam kemasan hitam.

Kami difahamkan Jaecoo J8 ini akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini. Tempahan belum dibuka, namun pelanggan yang berminat boleh melihat Jaecoo J8 ini yang kini dipamerkan di acara jelajah Jaecoo Malaysia di pusat membeli-belah 1 Utama bermula 27 hingga 30 Mac di mana pendaftaran minat turut dibuka.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required