Mitsubishi Ralliart sah sertai Asia Cross Country Rally 2025 guna Triton T1 dengan spesifikasi lebih ekstrim

Mitsubishi Ralliart sah sertai Asia Cross Country Rally 2025 guna Triton T1 dengan spesifikasi lebih ekstrim

Sayap perlumbaan Mitsubishi, iaitu Mitsubishi Ralliart telah mengesahkan penyertaannya dalam perlumbaan Asia Cross Country Rally (AXCR) 2025 dengan trak pikap Mitsubishi Triton yang nampaknya menerima pengubahsuaian lebih agresif berbanding jentera yang digunakan pada perlumbaan sama tahun lalu.

Trak berkenaan didedahkan ketika berlangsungnya Bangkok International Motor Show 2025 yang bermula minggu ini, memperlihatkan bahagian bed belakang yang jauh lebih pendek dari versi sebelumnya, serta kedudukan bahagian kemasukan unit snorkel pada fender hadapan sebelah kanan juga sudah sedikit berubah.

Walau bagaimanapun spesfikasi sebenar bagi jentera rali baharu ini masih belum diumumkan oleh pasukan tersebut, dan hanya mengesahkan bahawa casis dan pelbagai aspek lain telah diperhalusi bagi memberikan potensi yang lebih besar.

Mitsubishi Ralliart sah sertai Asia Cross Country Rally 2025 guna Triton T1 dengan spesifikasi lebih ekstrim

Pembangunan Triton AXCR ini sudah bermula sebelum model produksinya didedahkan pada 2023. Ia dibina berdasarkan undang-undang Group T1 FIA digunakan untuk perlumbaan AXCR, yang sebenarnya membolehkan pasukan menggunakan kenderaan prototaip. Pada peringkat awal penampilan Triton ini, ia masih berkongsi banyak perincian yang sama dengan versi produksi, serta menerima panel-panel badan seperti pintu dan bed belakang mula menggunakan komponen yang diperbuat dari gentian karbon untuk mengurangkan beratnya.

Namun bagi versi 2024, Triton T1 ini menerima pengubahsuaian yang lebih besar di mana spring dedaun pada suspensi belakang telah ditukar menggunakan spring gegelung, bersama pengubahsuaian dimensi pada gandar tersebut bagi memberikan cengkaman tayar lebih baik.

Dan untuk versi 2025 ini, Triton T1 berkenaan nampak lebih lincah dengan bed belakang lebih pendek, dipercayai untuk mengurangkan lagi beratnya serta memberikan sudut berlepas ketika meredah permukaan lasak yang lebih baik.

Mitsubishi Ralliart sah sertai Asia Cross Country Rally 2025 guna Triton T1 dengan spesifikasi lebih ekstrim

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Mitsubishi menyatakan bahawa enjin 2.4 liter DOHC MIVEC Turbodiesel yang digunakan oleh Triton ini telah dibuat beberapa penambahbaikkan dengan ketahanan yang dipertingkat. Seperti biasa enjin berkenaan menerima sentuhan dari penala Jepun iaitu HKS, dan menerusi pengumuman yang dibuat oleh HKS, bagi jentera tahun ini ia turut menyediakan sistem ekzos baharu untuk jentera rali rentas negara berkenaan.

Mitsubishi Ralliart turut berazam untuk mengulangi kejayaannya pada AXCR 2022 untuk bergelar juara keseluruhan menerusi pemandu utamanya iaitu Chayapon Yotha. Tahun lalu Yotha hampir mengecapi sasaran berkenaan selepas mendahului perlumbaan dengan kelebihan 20 minit di hadapan pada Leg 4, namun terpaksa menamatkan cabaran lebih awal selepas enjin Triton T1 yang dipandu tersebut gagal berfungsi 2 km sebelum garis penamat Leg 5.

Bagi perlumbaan tahun ini, laluan AXCR akan melibatkan perjalanan dari Thailand ke Kemboja dengan jarak sekitar 2,500 km, berbanding 2,000 km tahun lalu. Kesemua peserta akan berlepas di Pattaya pada 8 Ogos, menuju ke utara Thailand melalui Nakhon Ratchasima, diikut Chanthaburi. Pelumba-pelumba akan mula masuk ke Kemboja bermula 14 Ogos dan menuju ke garisan penamat di Phnom Penh pada 16 Ogos.

Seperti lazimnya laluan AXCR sebelum ini, laluan bagi rali tahun ini turut akan melibatkan pelbagai permukaan jalan termasuk kawasan pergunungan, hutan belantara dan juga meredah sungai.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required