Selain Y15ZR SE, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) juga hari ini memperkenalkan warna baru untuk model naked MT-15, yang dipanggil sebagai Ice Storm. Ia disediakan sebagai pilihan kepada warna Midnight Black sedia ada sebelum ini, dan harganya masih tidak berubah iaitu RM12,498 tidak termasuk insurans.
Warna baru ini banyak menggunakan warna kelabu pada bahagian badan, dan diletakkan kontras warna biru muda pada bahagian rim serta fork yang berwarna emas. Setiap pembelian datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.
Bahagian lain motosikal masih tidak berubah, bermula dengan enjin satu silinder suntikan bahan api 155 cc SOHC dengan teknologi VVA dan penyejukan cecair, dan ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm.
Penukaran gear dijadikan lancar dan berkesan dengan penggunaan klac jenis assist & slipper sementara lampu hadapan pula menggunakan unit LED. Pada bahagian kokpit terdapat panel meter digital LCD.
Kedua-dua brek hadapan dan belakang adalah jenis cakera, sementara perincian lain adalah termasuk tangki 10.4 liter, pemula enjin elektrik, meter digital, berat 133 kg, lampu depan dan belakang LED, tinggi tempat duduk 810 mm serta jarak dari tanah 155 mm.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.