Semasa majlis pelancaran MT-25 September lalu, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut membawa model MT-15 tetapi cuma sebagai pengenalan awal dan belum dilancarkan secara rasmi. Kini, harganya sudah ada, iaitu RM11,998 tidak termasuk insurans, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

Warna yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia ada dua iaitu Yamaha Blue dan Ice Fluo – sama seperti yang dipamerkan sebelum ini – dan setiap pembelian akan diberikan kunci cakera brek yang bernilai RM100 serta rantai kunci MT-15 First Edition secara percuma.

MT-15 menggunakan enjin sama seperti R15, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api 155 cc SOHC dengan teknologi VVA dan penyejukan cecair, dan ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm. Penukaran gear juga dijadikan lebih lancar dan berkesan dengan penggunaan klac jenis assist & slipper.

Pada bahagian depan, MT-15 menggunakan fork jenis USD manakala di belakang pula adalah monoshock. Kedua-dua brek hadapan dan belakang adalah jenis cakera manakala rim pula adalah 17 inci dengan tayar saiz 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang.

Perincian lain MT-15 adalah termasuk tangki 10.4 liter, pemula enjin elektrik, meter digital, berat 133 kg, lampu depan dan belakang LED, tinggi tempat duduk 810 mm serta jarak dari tanah 155 mm.

GALERI: Yamaha MT-15