Semasa majlis pelancaran MT-25, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut memberikan satu kejutan dengan memperkenalkan satu lagi model MT yang lebih kecil iaitu MT-15. Walaubagaimanapun, ia sekadar satu pra tonton awal dan harganya masih belum didedahkan. Ia diberitahu akan dilancar secara rasmi pada bulan November tahun ini.

Jika melihat kepada pasaran negara lain, harga MT-15 diletakkan lebih rendah berbanding R15, dan jika begitulah juga yang akan terjadi pada pasaran Malaysia, MT-15 sepatutnya dijual pada harga bawah RM12k.

Enjin yang digunakan pada MT-15 adalah sama seperti yang digunakan pada R15, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api 155 cc SOHC dengan teknologi VVA dan penyejukan cecair, dan ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm. Penukaran gear juga dijadikan lebih lancar dan berkesan dengan penggunaan klac jenis assist & slipper.

Pada bahagian depan, MT-15 menggunakan fork jenis USD manakala di belakang pula adalah monoshock. Kedua-dua brek hadapan dan belakang adalah jenis cakera manakala rim pula adalah 17 inci dengan tayar saiz 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang. Perincian lain MT-15 adalah termasuk tangki 10.4 liter, meter digital, berat 133 kg serta lampu depan dan belakang LED.

Sebagai pengguna, apa pendapat anda dengan dua model MT yang baru tiba di Malaysia ini? Yang manakah lebih menarik dan berapa agaknya harga yang berpatutan untuk MT-15?