Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sekali lagi memperbaharui pilihan warna untuk R15, di mana sekarang ia ditawarkan dalam warna baru Race Blu dan Black. Harganya masih tidak berubah, iaitu RM11,988 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Warna baru ini nampak lebih ringkas berbanding warna dua tona biru, kuning dan hitam yang ditawarkan sebelum ini.
Perincian lain tidak berubah, di mana R15 dikuasakan oleh enjin satu silinder 155 cc, sejukan cecair, dengan teknologi VVA dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 19.3 hp dan 15 Nm tork. Padanan transmisi pula adalah unit enam kelajuan, bersama klac jenis slipper & assist secara standard.
Walaupun cuma menggunakan enjin 155 cc, R15 ini datang dengan kelengkapan sporty seperti tayar yang lebar – 100/80-17 di depan, 140/70-17 di belakang, cakera brek depan berdiameter 282 mm, brek cakera 220 mm di belakang, panel instrumen LCD, kerangka Deltabox dan swingarm aluminium. Tangki bahan api yang disediakan berkapasiti 11 liter dan berat keseluruhannya adalah 137 kg.
Pada bahagian kokpit, terdapat panel paparan digital, dan ia menyediakan pelbagai informasi seperti kadar rpm, kelajuan, odometer, penggunaan bahan api, kedudukan gear, tahap minyak dan lampu amaran. Selain itu, meter ini juga dilengkapi dengan lampu waktu menukar gear (shift light), manakala lampu depan dan belakangnya adalah unit LED.
Model yang dijual di pasaran Malaysia adalah model spesifikasi tinggi, sama seperti Thailand dan Indonesia, dengan bahagian hadapannya menggunakan fork USD. Ada pasaran lain mendapat R15 yang lebih ringkas untuk mengurangkan harganya, dengan menggunakan fork teleskopik biasa berwarna hitam.