Yamaha Y15ZR SE, iaitu satu varian lebih tinggi berbanding varian biasa kapcai terkenal tersebut kini diberikan warna baru, Bronze Fury bagi model tahun 2025, dengan harga cadangan pengeluar masih kekal RM9,498 tidak termasuk insurans.
Sementara model SE warna biru yang diperkenalkan pada tahun 2023 mendapat tambahan lima panel aerodinamik pada badannya, model SE tahun 2025 ini pula tidak mendapat bahagian itu dan diganti dengan visor sports serta bakul barangan berserta pengecas USB-C.
Seperti yang boleh dilihat, badan model SE baru ini menggunakan padanan warna gangsa dan putih, dengan rimnya juga berwarna gangsa, berserta pelekat grafik sehingga ke bahagian fork. Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km dan kunci cakera brek bernilai RM100.
Bahagian mekanikal tidak berubah, dengan Y15ZR digerakkan oleh enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc suntikan bahan api yang digandingkan bersama kotak gear lima kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.5 PS pada 8,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 7,000 rpm. Ia datang dengan brek cakera depan dan belakang, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 4.2 liter.
Model ini juga dilengkapi dengan meter jenis LCD digital manakala lampu utama hadapan pula adalah unit LED. Rim adalah bersaiz 17 inci, dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.
Perincian lain Y15ZR V2 adalah termasuk berat keseluruhan 117 kg, tinggi tempat duduk 780 mm, fork teleskopik hadapan, monoshock di belakang, pemula enjin elektrik, butang lampu tinggi (passing light) dan butang mematikan enjin (kill switch).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.