Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini mengumumkan pengeluaran Y15ZR Special Edition (SE) untuk pasaran Malaysia, dijual pada harga RM9,498 tidak termasuk insurans. Jika mengikut harga cadangan yang dikeluarkan, model ini RM500 lebih mahal berbanding Y15ZR biasa yang harganya diletakkan pada RM8,998.
Keistimewaan utama Y15ZR SE seperti yang boleh dilihat adalah pada penampilannya, menggunakan panel badan berwarna biru gelap berserta jalur hitam, merah dan emas. Rim pula menggunakan warna emas. Kemudiannya, pemilik juga akan menerima kit aero lima keping, yang dipasang pada bahagian panel tepi, belakang serta penghadang lumpur hadapan.
Selain daripada itu, ciri Y15ZR ini masih sama seperti versi standard, bermula dengan enjin iaitu unit satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc suntikan bahan api yang digandingkan bersama kotak gear lima kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.5 PS pada 8,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 7,000 rpm. Ia datang dengan brek cakera depan dan belakang, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 4.2 liter.
Model ini juga dilengkapi dengan meter jenis LCD digital manakala lampu utama hadapan pula adalah unit LED. Rim adalah bersaiz 17 inci, dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.
Perincian lain Y15ZR V2 adalah termasuk berat keseluruhan 117 kg, tinggi tempat duduk 780 mm, fork teleskopik hadapan, monoshock di belakang, pemula enjin elektrik, butang lampu tinggi (passing light) dan butang mematikan enjin (kill switch).
Harga yang dinyatakan di atas adalah harga cadangan pengeluar, dan setiap pembelian diberikan jaminan dua tahun atau 20,000 km, serta kunci cakera brek yang bernilai RM100 secara percuma.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.