Dalam pengumuman berkenaan prestasi jualan bagi bulan Mac dan juga suku pertama 2025 yang dikeluarkan pagi ini, CEO Proton Edar Roslan Abdullah mengesahkan bahawa syarikatnya bakal melancarkan beberapa model baharu pada suku kedua tahun ini.
“Menjelang suku kedua tahun 2025, kami menjangkakan pelancaran berterusan beberapa model baru yang akan menawarkan pelbagai tawaran menarik. Namun, Proton tetap yakin bahawa rangkaian pengedar kami dan komitmen kepada pembeli kereta Malaysia akan memberikan pengalaman pemilikan jangka panjang yang terbaik kepada pelanggan kami,” kata Roslan yang juga menyandang jawatan naib CEO Proton.
Pembayang model-model baharu yang akan dilancarkan oleh Proton tahun ini telah diumumkan oleh CEO Proton Dr. Li Chunrong pada Januari lalu. Menurutnya Proton akan melancarkan sekurang-kurangnya tiga model tahun ini iaitu sebuah model yang meggunakan platfrom AMA, sebuah model tingkat taraf bagi model siri-X atau siri-S sedia ada, dan sebuah model yang berasaskan platform GMA.
Bagi model-model yang mungkin dilancarkan pada suku kedua ini, ia berkemungkinan besar adalah Saga baharu yang diasaskan dari platform AMA dan juga versi facelift untuk SUV segmen-B Proton X50. Manakala model baharu berdasarkan platform GMA pula merupakan model elektrifikasi yang hanya akan muncul selepas kilang EV Proton di Tanjong Malim siap lewat tahun ini. Malah kedua-dua Saga dan X50 facelift berkenaan kini dilihat sedang giat diuji oleh Proton di atas jalan raya awam.
Untuk Saga, ramai yang masih keliru sama ada ia adalah model generasi baharu atau model tingkat taraf versi generasi sedia ada. Namun kami difahamkan platform AMA yang maksudkan oleh Proton sebelum ini merupakan platform yang diasaskan dari platform model-model sedia ada Proton yang dibangunkan secara tempatan, kemudian ditingkat taraf dari pelbagai aspek bagi ia terus relevan dengan standard keselamatan dan prestasi model-model terkini.
Jadi kami jangkakan ia adalah Saga baharu berdasarkan platform AMA, tetapi masih menggunakan kerangka asas badan Saga generasi sedia ada. Malah sekiranya anda melihat dengan teliti unit-unit prototaip ujian berkenaan, ia bakal menampilkan perubahan rupa yang agak ketara berbanding model sedia ada.
Antara perbezaan tersebut termasuk lampu hadapan baharu, penutup bonet hadapan yang nampak lebih ‘bulat’ pada bahagian atas lampu, dan juga lampu belakang juga dengan rupa yang berbeza. Gril hadapan Saga baharu ini mungkin akan tampil dengan dua versi. Varian lebih tinggi akan menerima gril hadapan dengan rekaan signatur terbaharu pin krom yang diinspirasikan dari kain songket, manakala satu lagi versi masih menggunakan corak infinite weave sama seperti model sedia ada.
Malah turut dapat dilihat Saga baharu ini dipadankan dengan kamera untuk sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) pada cermin hadapan, membayangkan ia sekurang-kurangnya akan ada sistem amaran pelanggaran hadapan dan brek kecemasan automatik.
Ketika dilihat diuji di Cameron Highland baru-baru ini, Saga berkenaan turut diuji bersama sebuah Perodua Myvi. Jadi tidak mustahil Saga MC3 ini turut menerima unit rangkaian kuasa termasuk enjin dan kotak gear baharu yang dibekalkan oleh Geely bagi menggantikkan enjin Campro yang sudah pun dihentikan pembangunannya, dimana aspek pemanduan, prestasi, penggunaan bahan api dan sebagainya diuji dan dibandingkan dengan Perodua Myvi berkenaan.
Beralih kepada X50 facelift, berdasarkan gambar-gambar prototaip ujian yang ditemui mendedahkan Proton menggunakan penampilan luaran yang disadur dari Geely Binyue L yang diperkenalkan di China tahun lalu.
Ia meliputi bahagian muka menampilkan lampu hadapan yang lebih nipis bersama rekaan bampar yang diberikan gril sepenuhnya memenuhi apron. Unit-unit prototaip ujian itu juga dilihat sudah diberikan gril Proton juga dengan rekaan pin krom, dan nampaknya ia turut menampilkan elemen busur panah baharu.
Manakala di belakang, kedudukan perumah nombor pendaftaran versi facelift ini adalah lebih rendah, dan menerusi sedikit bahagian reflektor yang diletakkan melintang pada bampar, mengesahkan bahawa X50 facelift ini menggunakan bampar belakang yang sama seperti Geely Binyue L, yang turut menampilkan lampu belakang yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate.
Walau bagaimanapun, X50 facelift akan ini tampil dengan dua versi berbeza iaitu versi dengan spoiler belakang kecil dan spoiler belakang lebih besar. Bagi varian yang menerima spoiler kecil, ia menggunakan komponen yang sama seperti dipadankan pada Binyue L. Manakala bagi varian spoiler lebih besar, ia nampaknya diambil dari Geely Binyue Cool yang nampak lebih agresif.
Sekiranya Proton ‘menyalin’ sepenuhnya Binyue L untuk menghasilkan X50 facelift ini, ia mungkin turut akan menggunakan unit rangkaian kuasa yang sama, menampilkan enjin baharu 1.5 liter empat-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus. Enjin ini menjana 180 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 290 Nm bermula 2,000 hingga 3,500 rpm, atau 3 PS/35 Nm lebih berkuasa berbanding enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo pada X50 sedia ada.
GALERI: Spyshot Proton Saga 2025
GALERI: Spyshot Proton X50 facelift 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.