Proton sahkan R&D enjin CamPro VVT tamat, tugas akan diganti dengan enjin 1.5 Turbo tiga-silinder

Proton sahkan R&D enjin CamPro VVT tamat, tugas akan diganti dengan enjin 1.5 Turbo tiga-silinder

Enjin CamPro Proton dengan kod S4PE (1.3L) dan S4PH (1.6L) sudah berada cukup lama dalam pasaran. Enjin berkenaan pertama kali digunakan pada model produksi Proton bermula dengan kemunculan Gen2 pada tahun 2004, kemudian ia menerima pelbagai tingkat taraf seperti versi Cam Profile Switching (CPS) dan turut menampilkan sistem manifold kemasukan bervariasi (VIM), modul kemasukan udara-bahan (IAFM), malah versi yang digandingkan dengan sistem hibrid turut pernah ditayangkan pada konsep Gen2 ketika berlangsungnya Geneva Motor Show 2007.

Enjin berkenaan masih lagi digunakan dalam model-model produksi Proton sekarang – Exora dijana oleh enjin CamPro CFE iaitu versi yang diberikan pengecas turbo, manakala Iriz dan Persona menggunakan versi dengan teknologi VVT serta tidak lagi menggunakan nama CamPro itu sendiri.

Untuk Proton, enjin VVT yang diperkenalkan pada Iriz buat pertama kali pada 2014 merupakan era baharu buat mereka. Ini kerana walaupun enjin berkenaan masih lagi berkod S4PE/S4PH dan berkongsi beberapa teknologi dengan enjin CamPro lama, ia kini menerima blok, omboh, injap serta teknologi pemasaan injap bervariasi yang baharu sepenuhnya. Iriz menerima kedua-dua versi 1.3L dan 1.6L enjin VVT ini, manakala Persona hanya ditawarkan dengan enjin 1.6L dan Saga hanya hadir dalam versi 1.3L.

Walau bagaimanapun, teknologi tersebut turut sudah agak lama dan bakal berusia genap tujuh tahun pada 25 September ini. Namun dari tahun ke tahun, Proton masih ‘menyempurnakan’ enjin VVT berkenaan dengan membuat pelbagai talaan semula bagi membolehkan ia berfungsi serta memberikan kadar penggunaan bahan api yang lebih baik.

Proton sahkan R&D enjin CamPro VVT tamat, tugas akan diganti dengan enjin 1.5 Turbo tiga-silinder

“Untuk model-model ini secara spesifik, walaupun kami masih guna enjin yang sama, kami guna masa yang banyak untuk mendapatkan talaan dan kalibrasi ECU. Jika anda perasan, ada pelbagai penambahbaikkan – penggunaan bahan api NEDC – hasil dari talaan ECU digandingkan dengan fungsi CVT yang dipertingkat, serta rintangan golekan yang lebih baik menerusi kawalan terhadap komponen. Jika tidak melakukan talaan ECU, kami takkan dapat capai hasil sebegini,” kata eksekutif program kenderaan Proton, Adzrai Aziz Ibrahim dalam satu temu ramah baru-baru ini.

Namun, walaupun pelbagai usaha yang dibuat ini mendatangkan hasil, Proton mengakui mereka sudah sampai ke tahap maksima bagi pembangunan enjin CamPro ini. “Saya rasa dalam aspek enjin [VVT] itu sendiri, dari aspek hardware, saya rasa sudah tidak ada ruang untuk penambahbaikkan bagi VVT. Jadi, VVT, buat masa sekarang, kekal sebegitu, kerana syarikat kini sedang melihat kepada enjin lain, iaitu enjin 1.5 liter turbo yang digunakan untuk memacu X50 dan X70,” jelas Adzrai.

Buat masa sekarang, enjin 1.5 liter turbo tiga silinder yang dimaksudkan oleh Adzrai tersebut telah digunakan oleh Proton dalam dua versi. Versi paling berkuasa adalah dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI) yang digunakan pada X50 varian Flagship serta X70 pasaran eksport (Pakistan dan Nepal) berkuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Manakala satu lagi versi hanya diberikan sistem suntikan bahan api konvensional (PFI) berkuasa 150 PS dan tork maksima 226 Nm menjana X50 varian Premium dan ke bawah.

Enjin 1.5L Turbo PFI berkenaan belum lagi digunakan pada mana-mana model Geely, dan ia digunakan buat pertama kali untuk model produksi adalah menerusi Proton X50. Malah sebelum ini Proton mengesahkan bahawa ia akan digunakan dalam barisan model baharunya selepas ini, termasuk model-model yang akan dibangunkan secara tempatan dalam tempoh masa empat tahun kehadapan.

Proton sahkan R&D enjin CamPro VVT tamat, tugas akan diganti dengan enjin 1.5 Turbo tiga-silinder

Sebelum ini Proton telah menyatakan bahawa tugas enjin-enjin CamPro tidak akan digantikan dengan enjin GDI dan TGDI, tetapi kenyataan tersebut keluar pada tahun 2016 dan ia sudah tidak relevan dengan situasi dalam pasaran buat masa sekarang.

Unit 1.5 liter turbo yang dibangunkan oleh Geely dengan kerjasama Volvo berkenaan diklasifikasikan di bawah program GEP3 (Global Engine Petrol 3), dan berdasarkan laporan sebelum ini, Proton sudah pun melantik vendor tempatan bagi membekalkan berberapa komponen untuk enjin tersebut. Ketika itu, enjin GEP3 tersebut dikatakan akan menggantikan enjin CamPro CFE, sementara enjin VVT akan terus digunakan sehingga ketibaan model-model baharu sepenuhnya.

Berbanding enjin CamPro, enjin GEP3 tersebut adalah jauh lebih canggih dan pembangunannya adalah berdasarkan Volvo Engine Architecture. Ia dikenali sebagai enjin Drive-E dalam barisan model Volvo dan G-Power dalam barisan model Geely.

Dengan prestasi yang lebih baik, penggunaan bahan api lebih jimat serta jauh lebih mesra alam, ia bukan sahaja memberikan kelebihan pada pasaran tempatan, malah memberikan peluang kepada Proton untuk meneroka kembali pasaran eksport yang lebih luas. Proton sebelum ini terpaksa gulung tikar di beberapa pasaran eksport kerana tidak mempunyai enjin yang memenuhi undang-undang emisi ketat.

Proton sahkan R&D enjin CamPro VVT tamat, tugas akan diganti dengan enjin 1.5 Turbo tiga-silinder

Perincian lanjut berkenaan model mana yang akan diberikan enjin GEP3 tersebut masih belum jelas, namun tidak lama lagi produksi enjin tersebut akan dimulakan di kilang Proton di Tanjong Malim yang telah pun menerima pelaburan yang besar.

Pada 2018, Proton mengumumkan bahawa kilang tersebut akan ditingkat taraf dengan kemampuan bagi menghasilkan body in white (BIW), sub-pemasangan, trim dan kemasan akhir serta fasiliti logistik. Tingkat taraf tersebut mungkin sudahpun beroperasi sepenuhnya kerana ia disasarkan siap pada Februari 2019.

Proton turut menyatakan tingkat taraf sepenuhnya akan menyaksikan penambahan kilang enjin yang membawa pelaburan keseluruhan bernilai dari RM1.2 bilion kepada RM3 bilion. Memastikan bekalan enjin secara konsisten adalah penting, terutamanya apabila CEO Proton, Dr.Li Chunrong sebelum ini menyatakan bahawa mereka akan melancarkan satu produk baru setiap tahun.

Selepas mendengar apa yang disebutkan oleh Adzrai ini, sudah tentu ramai daripada kita (termasuk penulis sendiri) tidak sabar untuk melihat model yang dibangunkan secara tempatan oleh Proton yang dijana enjin 1.5 Turbo berkenaan bukan?

Proton Iriz dan Persona baru sahaja diperkenalkan dalam versi facelift kedua pada bulan lalu, dan mungkin ia akan bertahan dalam pasaran dalam masa 2-3 tahun lagi. Buat masa sekarang Proton tidak mempunyai sedan segmen-C dalam barisan model mereka selepas produksi Preve dihentikan. Adakah Proton sedang membangunkan model gantian untuk Preve yang akan menjadi model pertama menggunakan enjin GEP3 tersebut?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • drMpower on Sep 04, 2021 at 4:56 pm

    if only pingu didnt sell off the bike company for a dollar or something…if only pingu and dollah see what future bring that time. u guys still remember right what dollah and pingu said that time…that making car and bike is two opposite thing? tiada sinergi

    well thats why u need to use brain and think!

    the engine development always been an issue to car manufacturer, and that bike company should have been among the solutions. imagine three cylinders or even two cylinders technology developed by proton

    and those e101 by petronas. wonder what things could have been had those plans executed in full.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required