Proton X70 dilancarkan di Nepal – harga bermula RM304k, hanya enjin 1.5L T-GDI, CBU dari Malaysia

Proton X70 dilancarkan di Nepal – harga bermula RM304k, hanya enjin 1.5L T-GDI, CBU dari Malaysia

Selepas Brunei dan Pakistan, SUV segmen-C Proton X70 kini telah pun dilancarkan di Nepal. Ia dijual oleh Proton Cars Nepal yang diuruskan oleh Jagdamba Motors milik Shanker Group. SUV tersebut ditawarkan dalam empat varian seperti di Malaysia, namun ia hanya dijana oleh enjin 1.5 liter T-GDI seperti spesifikasi pasaran Pakistan.

Proton X70 Standard 2WD dijual di Nepal pada harga 8.699 juta rupee (RM304,226), diikuti dengan varian Executive 2WD pada harga 9.199 juta rupee (RM321,713). Satu-satunya versi pacuan semua roda juga ditawarkan di negara berkenaan dengan varian Executive AWD dijual pada harga 9.699 juta rupee (RM339,199), manakala varian tertinggi yang ditawarkan adalah Premium 2WD dengan harga 10.499 juta rupee (RM367,177).

Sebagai perbandingan, Proton X70 dijual pada harga RM 94,800 hingga RM122,800 di Malaysia. Harga yang jauh lebih mahal ini adalah kerana Nepal mengenakan duti import lebih dari 200% untuk kenderaan-kenderaan dari luar negara. Dan ya, kesemua X70 yang dijual pada pasaran Nepal ini adalah diimport sepenuhnya dari kilang Proton di Tanjong Malim, Malaysia.

Enjin turbo 1.5 liter tiga silinder dengan sistem suntikan bahan api terus pada X70 pasaran Nepal ini menghasilkan 177 PS dan tork 255 Nm, sama dengan unit yang menjana Proton X50 di sini. Berbanding X70 pasaran Malaysia (184 PS/300 Nm) yang menerima enjin turbo 1.8 liter empat silinder, enjin X70 di Nepal menghasilkan kurang 7 PS dan 45 Nm.

Proton X70 dilancarkan di Nepal – harga bermula RM304k, hanya enjin 1.5L T-GDI, CBU dari Malaysia

Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear klac berkembar jenis basah automatik tujuh-kelajuan, dengan versi 2WD hanya memacu roda belakang. Buat masa sekarang nampaknya selain Pakistan, Nepal juga menerima X70 yang menerima sistem pacuan semua roda menerusi varian Executive AWD.

Sebelum ini Proton X70 dalam varian Executive AWD turut ditawarkan di Malaysia. Namun varian tersebut disingkirkan ketika pengenalan X70 versi CKD tahun lalu kerana kekurangan permintaan, dan ia diganti dengan varian Premium X bagi memberikan pilihan lebih sesuai dengan pasaran Malaysia.

Bagi senarai kelengkapan, model Standard 2WD pasaran Nepal ini menerima rim aloi 17-inci, lampu hadapan projektor halogen, lampu kabus hadapan LED. Ia juga menerima pintu tailgate belakang berkuasa, di mana ciri ini tidak diberikan pada varian paling rendah di Malaysia.

Pada bahagian dalaman, model paling asas ini diberikan upholsteri fabrik hitam, tempat duduk hadapan larasan manual, pendingin hawa automatik dua-zon dengan liang belakang, sistem penyegar udara, sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin, tiga mod pemanduan (Normal, Eco dan Sport), paparan instrumen digital dengan skrin LCD tujuh-inci dan roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit.

Proton X70 dilancarkan di Nepal – harga bermula RM304k, hanya enjin 1.5L T-GDI, CBU dari Malaysia

Untuk sistem infotainmen, X70 Standard 2WD ini diberikan skrin sesentuh lapan-inci dengan fungsi arahan suara, hubungan kepada telefon pintar dan Bluetooth, serta enam pembesar suara.

Manakala model Executive 2WD dan AWD, kedua-duanya menerima rim aloi 18-inci, lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED, pengelap cermin automatik dengan penderia, upholsteri kulit palsu leatherette, cermin pandang belakang auto-malap, lampu selamat datang, tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala dan lapan pembesar suara.

Untuk varian tertinggi Premium 2WD pula, ia ditambah dengan rim aloi 19-inci, fungsi bukaan tanpa sentuhan pada pintu tailgate belakang, bumbung panaromik, upholsteri kulit Nappa, sokongan lumbar dua hala untuk tempat duduk pemandu, larasan elektrik empat hala pada tempat duduk penumpang hadapan bersama kawalan sisi tambahan, serta tambahan subwoofer untuk menjadikan sembilan pembesar suara secara keseluruhan dan dibantu dengan power amplifier.

Sistem keselamatan X70 pasaran Nepal ini juga agak seiras dengan apa yang ditawarkan di Malaysia. Varian Standard diberikan enam beg-udara, sistem brek ABS dengan EBD dan BA, auto brake hold, ESC, traction control, hill hold assist, bantuan turun bukit, empat penderia parkir, dan juga kamera undur.

Proton X70 dilancarkan di Nepal – harga bermula RM304k, hanya enjin 1.5L T-GDI, CBU dari Malaysia

Model Executive 2WD pula menerima tambahan dua penderia parkir di hadapan dan kamera 369 darjah, manakala versi AWD ditambah dengan sistem pemantau angin tayar. Model tertinggi Premium 2WD pula menerima dua lagi penderia parkir di hadapan, serta sistem bantuan pemanduan yang terdiri dari brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, cruise control adaptif, amaran keluar lorong, pemantau titik buta dan juga lampu tinggi automatik.

Berbanding di Malaysia, pasaran Nepal ini nampaknya menawarkan pilihan warna badan yang lebih terhad. Pelanggan boleh memilih X70 mereka dalam rona Snow White dan Armour Silver untuk semua varian, Jet Grey tidak ditawarkan untuk varian Executive AWD, manakala Space Grey pula tidak ditawarkan untuk Standard 2WD. Warna Ruby Red dan Cinnamon Brown tidak ditawarkan langsung.

Juga sama seperti Malaysia, setiap pembelian X70 di Nepal dilindungi dengan waranti selama lima tahun, tanpa had perbatuan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required