Sebelum ini ada laporan yang mengatakan bahawa enjin yang digunakan pada Proton X50 dan Geely Binyue adalah tidak sama dengan enjin 1.5L turbo tiga-silinder pada SUV kompak XC40 versi plug-in hybrid (PHEV) iaitu XC40 Recharged T5.

Namun ketika sesi temu ramah bersama Dr. Håkan Sandquist, pengarah strategi trenkuasa Geely di China Euro Vehicle Technology (CEVT) baru-baru ini, beliau sendiri mendedahkan bahawa enjin yang digunakan oleh ketiga-tiga SUV berkenaan sememangnya dari keluarga yang sama.

Buat masa sekarang, Volvo XC40 pasaran Malaysia masih hanya ditawarkan dalam versi T5 AWD yang dijana oleh enjin Drive-E 2.0 liter turbo tanpa sistem hibrid. Walau bagaimanapun, model T5 Recharged yang menggunakan enjin 1.5 liter tersebut telah pun dilancarkan di Thailand bulan lalu, dan ia adalah versi CBU yang diimport dari kilang Volvo di Shah Alam, Selangor.

Jadi model dalam versi lebih mesra alam berkenaan mungkin akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat. Volvo XC40 T5 Recharged ini bukan sahaja menggunakan enjin 1.5 liter yang sama dengan X50 dan Binyue, malah ia juga dibekalkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan 7DCT yang sama.

New Volvo XC40 T5 plug-in hybrid

Apa yang berbeza, model PHEV ini menerima motor elektrik yang dipadankan pada kotak gear berkenaan dan ia masih memacu roda hadapan – konfigurasi ini juga sebenarnya sama dengan Geely Binyue PHEV yang dijual pada pasaran China.

Walau bagaimanapun, Dr Sandquist menjelaskan bahawa pakej akhir untuk kedua-dua versi enjin Volvo dan Geely/Proton ini adalah berbeza. Malah kedua-duanya juga menampilkan kod enjin mengikut konfigurasi jenama masing-masing, di mana enjin Volvo diberikan kod B3154T5, manakala pada Geely/Proton pula ia diberikan kod enjin JLH-3G15TD.

Apa yang dimaksudkan dengan pakej akhir berkenaan? Enjin 1.5 liter pada Volvo T5 Recharged menghasilkan kuasa 180 PS, manakala untuk Proton X50 Flagship/Geely Binyue dijana enjin 1.5 liter dengan sistem suntikan terus (T-GDI) menghasilkan 177 PS/255 Nm – pastinya ada talaan dan berberapa komponen kecil lain antara kedua-dua enjin ini dihasilkan berbeza.

Unik untuk pasaran Malaysia, X50 dalam tiga varian lebih rendah diberikan enjin 1.5 liter turbo yang sama tetapi hanya dibekalkan dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik (PFI). Versi ini menghasilkan kuasa lebih rendah iaitu 150 PS/226 Nm.

Walaupun gandingan enjin dan transmisi antara Volvo XC40 dengan Proton X50/Geely Binyue ini adalah sama, kerangka asas badan kedua-dua model berkenaan adalah berbeza. XC40 dihasilkan dengan platform Compact Modular Architecture (CMA) Volvo, yang turut digunakan pada model Geely yang lebih premium seperti Xingyue, Xingrui dan berberapa model dari divisi mewahnya iaitu Lynk & Co.

Manakala untuk Proton X50 dan Geely Binyue pula, ia diasaskan dari platform B-segment Modular Architecture (BMA), yang dihasilkan oleh Geely tanpa penglibatan terus dari Volvo.

Seperti yang telah kami laporkan sebelum ini, barisan enjin dari keluarga 1.5 liter turbo ini dihasilkan oleh CEVT bagi digunakan untuk pelbagai projek Volvo Cars dan juga Geely Auto, serta jenama-jenama lain di bawah payung kumpulan tersebut termasuk Proton dan Lynk & Co. Sejak ia diperkenalkan, enjin ini telah digunakan pada lebih 600,000 kenderaan, manakala kotak gear 7DCT tersebut pula berada pada lebih satu juta kenderaan.

Enjin modular dari keluarga Volvo Engine Architecture (VEA) ini dihasilkan dalam saiz yang kompak kerana direka bagi disesuaikan dengan teknologi elektrifikasi seperti sistem hibrid ringkas, penambah jarak, hibrid dan PHEV dengan mudah.

Selain dari versi T-GDI dan PFI, barisan enjin ini turut menampilkan versi yang beroperasi dalam kitaran Miller – ia menjana kurang kuasa kuda kerana pemasaan injap bervariasinya dilaras bagi memberikan pengunaan bahan api yang lebih efisien, namun kuasa yang berkurang tersebut ditampung dengan penampilan motor elektrik pada sistem hibrid.

Kami turut bertanya pada Dr Sandquist mengapa sela masa untuk servis pada XC40 Recharge T5 adalah 20,000 km, manakala pada Proton X50 pula hanya 10,000 km. “Sebenarnya, ini adalah soalan yang baik. Ia pastinya berasaskan kualiti minyak enjin dan berberapa perkara lain, tetapi saya tidak pasti perinciannya,” kata Dr. Sandquist.

“Kami perlu tanya wakil pasaran tempatan. Tetapi ia adalah enjin asas yang sama, jadi satu-satunya perkara yang dapat saya fikirkan adalah perbezaan kualiti minyak enjin,” tambahnya lagi.