Proton hari ini memperkenalkan empat model edisi istimewa sekali gus untuk pasaran tempatan. Satu daripadanya ialah Proton Saga R3 Limited Edition 2021 yang dijual pada harga RM42,300, atas jalan tidak termasuk insurans. Ini ialah harga dengan pengecualian SST dan sah sehingga 30 Jun 2021. Tiga lagi model termasuk Proton Iriz R3 Limited Edition, Persona Black Edition dan Exora Black Edition.

Bertolak daripada kejayaan Saga Anniversary Edition sebelum ini yang mana semua 1,100 unitnya habis dijual dalam masa lima hari, Saga R3 Limited Edition ini hadir untuk memberikan penawaran unik yang sama.

Kali ini, Saga R3 Limited Edition hanya akan ditawarkan dalam jumlah 2,000 unit sahaja.
Semua model yang diperkenalkan hari berkongsi penampilan warna hitam yang sama, dan seperti yang dapat dilihat pada Saga R3 ini, ia menggunakan pelekat badan hiasan dengan tema R3 bagi menyuntik kelainan. Selebihnya, Saga R3 menggunakan rim 15-inci aloi dengan penyudah kelabu kesat.

Membangkitkan lagi imej sporty kereta ini ialah bodykit R3 yang digunakannya, semua dalam tona warna hitam-kuning. Ini termasuklah jalur kemasan berwarna kuning yang dapat dilihat pada bahagian bawah gril serta bawah bampar, sisi badan kereta serta di belakang. Sama seperti edisi istimewa sebelum ini, gril Infinite Weave dengan logo baru Proton digunakan.

Pada cermin utama, pelekat penghadang matahari juga hadir dalam warna sama, dengan lencana R3 yang agak besar. Selain itu, perumah cermin sisi juga sama, bahagian atasnya dalam warna kuning, yang turut menempatkan lampu isyarat. Lihat bahagian tepi badan kereta ini, pelekat hiasannya turut memaparkan nombor 82; nombor sebenar kereta lumba Saga yang digunakan sebelum ini.

Di belakang, tema kuning ini diteruskan lagi, sama seperti elemen yang ada di depan; jalur bawah bampar serta pelekat penghadang matahari pada cermin. Satu sentuhan menarik tentunya pada lencana R3 yang digunakan di sebalah kadan nombor plat, sementara di sebelah kirinya pula ditampal pelekat Limited Edition.

Di dalam, gandingan tema dengan warna yang sama ini diteruskan. Rona warna hitam dengan kemasan jahitan kuning menjadi unsur utama, misalnya pada balutan tempat duduk dan sterengnya. Dan, lencana R3 seperti tidak ingin “direhatkan” pada kereta; bahagian penyandar kerusinya juga menerima lencana sama dalam bentuk jahitan kuning.

Kemasan kuning yang sama dipadankan di beberapa lagi tempat dalam kabin, misalnya pada gelung paparan meter, pangkal konsol tengah papan pemuka, penutup/pembuka corong pendingin hawa serta jahitan keliling pelapik kaki yang diberikan. Dan, sekali lagi, lencana R3 Limited Edition ditampal juga pada papan pemuka serta di pelapik kaki berkenaan.

Untuk ciri lain, kelengkapan Saga R3 Limited Edition 2021 ini masih sama seperti model Anniversary Edition/Premium AT. Ia termasuk lampu nyalaan siang LED, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh “terapung” bersaiz tujuh-inci berasaskan android, paparan pelbagai info dengan skrin tanpa warna, kamera undur dan pelbagai lagi.

Sistem mekanikal juga tidak menampilkan sebarang perubahan, dijana oleh enjin VVT 1.3L empat-silinder menghasilkan 95 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 120 Nm pada 4,000 rpm. Ia juga hanya hadir dengan kotak gear automatik empat kelajuan konvensional, tanpa pilihan transmisi manual.

Gambar rasmi