Selain Saga R3 Limited Edition, satu lagi model yang membawakan ilham dan semangat perlumbaan yang sama diperkenalkan oleh Proton ialah Iriz R3 Limited Edition. Model ini dijual pada harga RM52,900. Ini harga atas jalan dengan pengecualian SST dan sah sehingga 30 Jun 2021 nanti. Dua lagi model yang turut diperkenalkan hari ini ialah Persona Black Edition serta Exora Black Edition.
Berkongsi pendekatan penampilan yang sama dengan Saga R3, Iriz R3 ini juga diberikan warna badan hitam dengan kemasan perincian kuning di luar dan dalam. Bagi Iriz, jalur kuning berdekat grilnya kelihatan lebih ketara dan panjang, dilanjutkan sehingga ke bahagian lampu utama. Jalur sama bahagian bawah bampar kekal seperti yang turut ada pada Saga R3.
Tempat lain yang ditandai dengan kemasan R3 ini ialah pada bahagian pelekat pelindung matahari cermin depan, dengan lencana R3 yang besar. Tidak lupa, perumah cermin sisinya juga berwarna kuning bahagian atasnya, yang turut menempatkan lampu isyarat. Jalur kuning di skirting sisi juga nampak sangat kemas pada Iriz.
Di bahagian badan, pelekat hiasan R3 yang sama tertera, tetapi berbeza dengan Saga R3, ia menggunakan nombor 83. Ini merupakan nombor perlumbaan sebenar jentera Iriz yang dipandu oleh Farique Hairuman dan Mitchell Cheah di ketika menang dalam S1K dua tahun lalu.
Ukuran rim juga lebih besar berbanding saiz pada Saga R3. Iriz R3 ini juga menggunakan rim 16-inci, mungkin saja sebagai tanda hormat kepada Satria Neo CPS sebelum ini yang menggunakan penyudah kelabu kesat yang sama, serta dibaluti tayar bersaiz 185/55 Goodyear Excellence.
Di belakang, kemasan R3 dan rona kuning yang didatangkan sama posisi dengan apa yang ada pada Saga R3; lencana R3 dan Limited Edition, jalur kuning bawah bampar serta pelekat pelindung matahari dengan logo R3 besar. Cuma tambahan pada Iriz, ia melibatkan satu bahagian lagi dengan warna kuning dan logo R3, iaitu di sisi spoiler belakang.
Di bahagian dalam, kemasan kuningnya ada yang sedikit berbeza lokasi. Antaraya di bingkai serta tombol kawalan sistem pendingin hawa. Gelung meter serta kemasan pada pelapik kaki kekal menggunakan jahitan keliling warna kuning dan lencana R3. Lencana yang sama juga ditempatkan pada papan pemuka.
Kerusi balutan kulit serta bahagian stereng Iriz R3 ini juga tidak ketinggalan menerima kemasan sama. Bentuk kerusi yang digunakan bagaimanapun berbeza dengan apa yang ada pada Saga R3. Ia lebih banyak sokongan — walaupun dengan kemasan lencana R3 yang dijahit — sesuai dengan aspirasi jentera lumba yang ingin dibawa.
Dari segi mekanikal, Iriz R3 ini tidak melibatkan sebarang perubahan. Ia masih kekal menggunakan enjin 1.6 liter VVT DOHC yang menghasilkan 109 PS pada 5,750 rpm dan 150 Nm pada 4,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear CVT. Hanya ada 500 unit Proton Iriz R3 Limited Edition ini dikeluarkan. Jadi, rasanya ini pilihan berbaloi?
Gambar rasmi
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.