PANDU UJI: Proton Iriz 2019 – bukan sekadar ‘salin kulit, turut menambah baik karakter NVH dan CVT

PANDU UJI: Proton Iriz 2019 – bukan sekadar ‘salin kulit, turut menambah baik karakter NVH dan CVT

Sejak Proton mengumumkan harga bagi barisan Iriz 2019 lebih murah berbanding model terdahulu, hatchback ini kembali hangat diperkatakan. Malah makin ramai yang tertarik dengan Iriz, bukan sahaja kerana harganya, tetapi rekaannya yang dipertingkatkan dengan ciri yang lebih canggih yang diberikan. Sekaligus menambahkan keterujaan orang ramai untuk meletakkannya dalam senarai kereta pilihan untuk dibeli.

Malah Proton berkata sejak dilancarkan pada akhir April lalu, Iriz 2019 telah mencatatkan jualan sebanyak 940 unit (angka jualan pada Mei 2019). Ini memberikan petanda yang agak baik biarpun mungkin agak sukar untuk Iriz mengatasi pencabar terdekatnya, Perodua Myvi.

Sebelum pelancarannya, kami diberi kesempatan memandu uji hatchback ini di litar ujian Pusat Kecemerlangan (COE) Proton, Shah Alam, dalam masa yang agak terhad. Jadi sudah pasti tidak begitu mampu memberikan kepuasan untuk mengulas lebih banyak mengenainya.

PANDU UJI: Proton Iriz 2019 – bukan sekadar ‘salin kulit, turut menambah baik karakter NVH dan CVT

Justeru, sekali lagi Proton menganjurkan sesi pandu ujinya selepas majlis pelancarannya. Dengan menempuh perjalanan yang jauh iaitu dari ibu pejabat Proton di Shah Alam menuju ke Tanjung Jara, Terengganu, kudrat Iriz 2019 ditagih sepenuhnya. Adakah ia telah menjalani transformasi yang lebih berbaloi setelah model pertama yang diperkenalkan pada tahun 2014 banyak menerima kritikan?

Diberikan varian Iriz Premium 1.6L CVT yang dipandu secara bergilir-gilir dengan Zhi Jian dari Paultan.org/chinese, konvoi melalui kombinasi lebuhraya dan jalan biasa untuk menguji prestasi dan kelebihannya.

Model Iriz yang pertama dilancarkan lima tahun terdahulu menerima kritikan yang agak ‘memedihkan’ terutamanya berkaitan dengan CVT yang serba kekurangan dan juga kualitinya yang boleh dikatakan tidak begitu menguja. Justeru, Proton mengambil segala kritikan tersebut sebagai cabaran untuk membaiki dan menambah baik segala kekurangan dan menerusi Iriz 2019 inilah mereka membuktikan produk yang dihasilkan tidak lagi mengecewakan.

PANDU UJI: Proton Iriz 2019 – bukan sekadar ‘salin kulit, turut menambah baik karakter NVH dan CVT

Jadi perkara pertama yang saya amati untuk pengendalian Iriz 2019 ini ialah transmisinya. Kalau dulu, saya antara media yang kecewa dengan transmisi CVT Iriz ketika pertama kali mengujinya pada tahun 2014. Memang tak berapa ada umph langsung. Bak kata orang zaman rock kapak, “potong stim betul wei!”.

Menyedari kelemahan tersebut, Proton nekad untuk menambah baik transmisi berkenaan dan untuk model facelift yang dilancarkan pada 2017 juga telah menyaksikan penambahbaikan untuk transmisi. Biar pun masih menggunakan CVT dari Punch yang sama, namun ia telah diberikan talaan baharu bagi mengubah karakteristiknya.

Untuk Iriz 2019, menurut Proton, rakan strategiknya, Geely menggunakan punch CVT yang sama pada beberapa modelnya di China, yang dibangunkan untuk membuatkan unit jana kuasa tersebut lebih senyap, lebih responsif dan neutral dan inilah yang telah diimplementasikan buat model baharu hatchback tersebut. Ternyata usaha tersebut membuahkan hasil bila mana CVT yang dipadankan pada Iriz 2019 ini lebih senyap seakan tidak menyedari pertukaran gear, malah juga dirasakan lebih responsif bila mana diperlukan.

PANDU UJI: Proton Iriz 2019 – bukan sekadar ‘salin kulit, turut menambah baik karakter NVH dan CVT

Ini membuatkan pengendalian Iriz 2019 ternyata lebih padu, selesa dan menyeronokkan. Pemanduan kini tidak begitu terganggu dengan CVT yang lembap dan bunyi bising yang mengganggu. Bukan itu sahaja, kuasa yang disalurkan ke roda seiring dengan kelajuan putaran enjin. Mengelakkan enjin mengaum tak tentu hala apabila transmisi tidak memberikan kerjasama yang sepatutnya.

Walau bagaimana pun, ia hanya melibatkan talaan yang lebih baik dan bahagian mekanikal lain masih dikekalkan iaitu dengan enjin 1.6 liter VVT dan kuasanya juga tiada perubahan iaitu 107 hp pada takat 5,750 rpm dan tork 150 Nm pada takat 4,000 rpm. Gabungan enjin dan transmisi yang ditala lebih ‘sedap’ ini, daya pecutan Iriz 2019 juga lebih menyeronokkan. Kombinasi enjin dan transmisi ini memang ‘tak lawan cakap pemandu’ dan bersedia memuntahkan kuasa bagi menghasilkan kelajuan yang diingini. Pernah juga ‘tak sengaja’ memecut sampai kelajuan cecah 180 km/j, tak sedar sebenarnya speedo meter sudah cecah tahap itu, memang syiok pula layan Iriz 2019 ni.

Walau bunyi CVT telah berjaya dikurangkan, namun gangguan dari bunyi seretan tayar dan angin masih jelas kedengaran berlumba-lumba masuk ke dalam kabin terutamanya bila hatchback ini dipandu laju. Biar pun Proton berkata, karakteristik NVH Iriz 2019 telah ditambah baik. Ya, sedikit baik berbanding model terdahulu.

PANDU UJI: Proton Iriz 2019 – bukan sekadar ‘salin kulit, turut menambah baik karakter NVH dan CVT

Selain daripada itu, elemen lain yang turut dipertingkatkan ialah peredam yang lebih berdinamik telah digunakan untuk membantu mengurangkan getaran yang terhasil menerusi roda stereng dan pedal pendikit. Dan ternyata usaha ini menampakkan penghasilan yang optimum kerana sudut getarannya dirasai berkurangan berbanding model sebelumnya. Begitu juga dengan prestasi brek yang lebih optimum.

Boleh dikatakan kualiti Iriz telah dipertingkatkan berdasarkan standard penilaian yang dikenali sebagai GCPA Rating, seperti mana yang ditetapkan oleh Geely.

Walau pun Proton tidak lagi menerima sentuhan pengendalian Lotus, tapi pastinya barisan jurutera syarikat ini telah banyak belajar untuk ‘memberikan rasa’ yang memuaskan untuk barisan model baharu Proton. Seperti mana Iriz 2019, memang pengendaliannya jauh lebih baik berbanding model sebelumnya. Tak kiralah ketika melenjannya di lebuhraya atau pun jalan biasa, biar pun dalam pemanduan yang agak agresif, namun ia masih mampu menyalurkan keseronokan sewaktu mengendalikannya.

Malah kawalan sterengnya juga disifatkan lebih padu dan ‘ada rasa’. Cuma adakalanya fokus pemanduan sedikit terganggu dengan olengan badannya walaupun tidaklah begitu teruk, tapi masih boleh dirasai terutamanya jika melalui permukaan jalan yang kurang rata.

Jika anda tidak begitu mengambil peduli dengan karakteristik pengendalian yang dipertingkatkan ini, mungkin imej Iriz 2019 yang umpama mendapat ‘kulit’ baharu ini wajar dipertimbangkan. Iriz 2019 turut mendapat sentuhan rekaan yang lebih segar seperti mana yang dilakukan terhadap Persona 2019, iaitu mengikut acuan SUV pertama Proton, X70.

Hatchback ini diberikan padanan bampar baharu dengan corong pengambilan bawah yang lebih lebar dan corong aliran udara palsu ditonjolkan. Lebih menarik dengan kehadiran gril hitam yang lebih besar berbanding model semasa yang menampakkan ciri yang lebih tradisional dengan menjadikan busur panah dan corak songket sebagai sumber inspirasi, rekaan yang pertama kalinya diterapkan pada X70. Ternyata ia menjadi signatur baharu bagi Proton apabila rekaan sebegini ditampilkan bagi model baharu atau yang diperbaharui.

Menambahkan lagi kesegaran pada wajah hadapannya dengan padanan lampu utama yang lebih langsing bersama lampu nyalaan siang (DRL) LED baharu. Profil sisinya tidak berubah, namun ditampilkan dengan roda aloi pelbagai-jejari yang diinspirasikan dari rotor blade baharu bersaiz 15-inci.

Melewati bahagian belakangnya pula, perkataan ‘Proton’ dalam rekaan 3D cukup menarik pandangan. Gaya baharu yang diperkenalkan oleh Proton ini memang mirip dengan pembawakan Volvo dan Geely. Jarang syarikat kereta menempatkan perkataan jenamanya yang lebih besar berbanding lencana modelnya di bahagian belakang sebegini.

Selain itu, lampu belakang dengan grafik baharu yang menurut Proton memberikan rupa yang lebih lebar pada kereta ini. Bukan itu sahaja, bampar belakang turut ditukar, kali ini menampilkan bahagian kelihatan seperti diffuser yang lebih menyerlah, bersama sepasang liang udara menegak pada kedua-dua sisi. Lebih bergaya dengan padanan bumbung hitam untuk varian tertinggi ini, dengan elemen tambahan baharu termasuk spoiler dan antena sirip jerung.

PANDU UJI: Proton Iriz 2019 – bukan sekadar ‘salin kulit, turut menambah baik karakter NVH dan CVT

Bahagian kabin juga tidak terlepas daripada suntikan yang lebih segar. Ini termasuklah memilih ambien yang lebih gelap bagi menampilkan sifat yang lebih sporty bagi Iriz 2019 ini. Selain itu, terdapat beberapa elemen baharu yang ditampilkan, ini termasuklah paparan pelbagai-info TFT LCD, dan meter analog yang lebih besar.

Varian spesifikasi penuh ini turut dilengkapi unit utama berasaskan Android dengan paparan sesentuh tujuh-inci, data dalaman 16 GB, fungsi mirroring untuk telefon pintar, paparan pelbagai-info TFT, kamera pandang belakang dengan Dynamic Line, dan ketersambungan telefon pintar.

Lebih menarik apabila ia didatangkan dengan ciri tambahan baharu termasuklah Online Navigation, cermin pandang belakang tanpa bingkai yang diinspirasikan dari model Volvo, tombol gear, sambungan 4G & Wifi dan Arahan Suara seperti yang ditampilkan buat pertama kalinya pada X70. Malah Iriz merupakan model hatchback segmen-B pertama yang ditampilkan dengan fungsi Arahan Suara ini yang terkenal dengan dailog permulaan ‘Hi Proton’ sebelum memulakan pertanyaan lain.

Ciri-ciri lain yang masih dikekalkan termasuklah dua port pengecas USB, ECO Drive Assist, butang penghidup enjin, roda stereng balutan kulit dan tempat duduk separa kulit. Selain suis kawalan untuk pendingin hawa manual yang turut ditampilkan.

Aspek keselamatan juga tiada perubahan, masih kekal dengan enam beg udara, ABS dan EBD, Kawalan Kestabilan dan cagak Isofix.

Menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP, dengan harga RM50,700 bersama waranti lima-tahun atau 150,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu), memang tak rugilah memilih varian tertinggi Iriz 2019. Dengan segala elemen yang diberikan, pemilikannya dilihat berbaloi. Walau tiada perubahan enjin dan transmisi, tapi beberapa peningkatan untuk memantapkan lagi karakternya menyerlahkan lagi kematangan hatchback ini.

Mungkin daripada segi kredibiliti, pesaing terdekatnya, Perodua Myvi lebih menyerlah. Tapi dengan beza harga RM2,000 (Myvi 1.5 Advance AT berharga RM52,186.23) dan perbezaan elemen yang diberikan (sila rujuk spesifikasi penuh yang terdapat di Carbase.my), mana satu yang menjadi pilihan anda?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

 

Add a comment

required

required